Kenji cari jawapan, mengapa perlu masuk Islam

DISANGKA mualaf, pelakon senior Kenji Sawahi mendedahkan masih dalam fasa mendekati dan mempelajari Islam sejak lima tahun lalu.

Ujar aktor berusia 61 tahun itu, dia banyak bertanya berkenaan keindahan Islam dengan kawan rapatnya yang dikenali sebagai Pak Haji.

Saya bukan mualaf, ramai yang salah faham, saya belum masuk Islam lagi, masih mengenali dan belajar. Sudah lima tahun saya dalam fasa ini.

“Saya banyak menuntut ilmu dengan kawan saya, Pak Haji, apa yang saya tidak faham dan keliru, saya rujuk kepadanya, dia ada ilmu agama, selain terangkan kepada saya kebaikan Islam.

Saya mahu cari jalan yang betul-betul membuka pintu hati saya untuk masuk Islam. Saya tidak mahu, jika tidak benar-benar faham, saya keluar balik daripada Islam, tak eloklah kan,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya tentang penerimaan keluarga andai suatu hari nanti pintu hatinya terbuka memeluk agama Islam, pelakon filem Fanna itu memberitahu,mereka pasti menerima dengan hati terbuka.

Saya membesar di Kangar, Perlis yang dikelilingi orang Melayu dan masyarakat Siam. Saya belajar adat mereka sejak kecil lagi, begitu juga keluarga saya, mereka sangat faham antara satu sama lain.

“Andai kata saya masuk Islam suatu hari nanti, keluarga saya tentu terima dengan hati terbuka.

Macam saya cakap, saya tidaklah menyentuh terlalu mendalam sampai boleh hafal surah, saya sekarang sedang mencari jalan mengapa perlu masuk Islam dan selebihnya biar Tuhan tentukan,” ujarnya pada majlis tayangan siaran langsung episod akhir drama Layang Layang Perkahwinan, malam tadi.

Paling penting kata Kenji, biarlah dia melakukan sesuatu perkara dengan penuh keikhlasan dan hati reda supaya apa yang dijunjung kelak bukan pertukaran agama semata-mata. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok