Keluarga merajuk dengan Jasper Supayah

KALI pertama tidak dapat merayakan Tahun Baharu Cina dengan insan tersayang dek tuntutan kerja, pelakon Jasper Supayah mendedahkan keluarganya berkecil hati.

Begitupun, Jasper atau nama lengkapnya Jasper James Supayah, 31, memberitahu akhirnya mereka faham selain berjanji mencuri masa pulang ke Johor sebelum bergegas ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan kerja.

“Sejujurnya ini kali pertama saya tidak balik kampung merayakan Tahun Baharu Cina, memang tidak sempat sebab tengah sibuk dengan penggambaran, saya pula memegang watak utama, jadi ada puluhan babak kena selesaikan.

“Saya tahu keluarga saya sebenarnya merajuk tetapi mereka cuba memahami cara kerja saya, lagi pula peluang galas peranan utama tidak datang selalu.

“Tetapi saya cuba juga balik walau sekadar sejam dua, asalkan boleh bertemu mata, beramah mesra, makan dan pulang kembali ke KL meneruskan penggambaran,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya perbezaan sambutan Tahun Baharu Cina dengan Deepavali memandangkan dirinya merupakan kacukan Cina dan India, pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu memberitahu tiada beza, tetap soalan kahwin jua yang disua.

Sebenarnya sama sahaja perayaan, selain kemeriahan, banyak juga soalan akan diajukan kepada kita yang belum berkahwin lagi ini. Faham-faham sahajalah soalan apa.

“Memang bila jumpa saudara mara, ramai akan tanya bila mahu kahwin, saya okay sahaja dengan soalan mereka, lagi pula mereka hanya sekadar mahu bertanya khabar cuma dengan cara berbeza.

Tekanan memang nyatalah apabila cakap pasal kahwin tetapi saya tetap dengan prinsip saya untuk fokuskan kerjaya terlebih dahulu. Cinta, kahwin semua akan datang tepat pada waktunya nanti,” ujarnya panjang lebar.

Dalam perkembangan lain, wanita tinggi lampai itu memberitahu kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama genre aksi berjudul Jejak yang akan bersiaran di saluran Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) tidak lama lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok