Kanye ‘naik hantu’ disaman Adidas RM1.19 bilion

PENYANYI rap Kanye West berdepan kemungkinan disaman syarikat jenama kasut sukan gergasi dunia, Adidas berjumlah AS$250 juta (RM1.19 bilion) selepas usaha samanya dengan syarikat tersebut ditamatkan.

West atau nama sebenarnya, Kanye Omari West, 47, turut menentang sekeras-kerasnya pengeluaran sneakers baharu Yeezy oleh Adidas iaitu Yeezy 350s yang disifatkannya sebagai tiruan.

Adidas mengeluarkan Yeezy tiruan, tidak membayar (saya) dan ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap saya,” tulis pelantun lagu Heartless itu menerusi Instagram.

Dalam satu video dimuat naik, bekas suami personaliti popular, Kim Kardashian itu mendedahkan bahawa pengeluaran kasut Yeezy baharu tidak mendapat kelulusan daripada pihaknya yang merupakan pencipta sneakers fenomena global tersebut.

Bukan hanya mengeluarkan Yeezy tiruan yang tidak diluluskan, mereka (Adidas) juga nak saman saya AS$250 juta serta tidak bayar saya untuk kasut yang dikeluarkan tertera nama saya.

“Mereka menggunakan klaus kontrak ‘lama’ untuk membinasakan seorang bintang seni kegemaran kalian secara terang lagi bersuluh,” ujarnya lagi.

Disebabkan pendedahan berani mati West itu, ramai dalam kalangan penggemar kasut atau sneakerhead mula mengugut untuk memboikot Adidas.

Suarakan kebenaran,” kata bintang rap legenda, Snoop Dogg.

“Boikot Adidas. Semua pakaian dan kasut mereka (Adidas) sejak kebelakangan ini adalah mengarut,” demikian antara komen pengguna Instagram lain.

West merupakan antara pemuzik terkaya dunia berstatus bilionair. Selain muzik, antara bisnes yang membuatkan dirinya kaya raya adalah kolaborasi dengan syarikat terkemuka dunia termasuklah Nike, GAP, Balenciaga dan Adidas.

Mutakhir ini, pemenang 24 trofi Grammys itu sering dikritik kerana kelantangannya mengutuk Yahudi.

Disebabkan kenyataan anti-semitik (anti Yahudi), Adidas mengambil keputusan menamatkan kontrak bersama Kanye West yang kini dikenali sebagai Ye.

Memetik laporan BBC, Adidas menamatkan usaha sama dengan Ye kerana menyifatkan ucapan penyanyi rap itu yang berunsur hasutan  dan anti-semitik sebagai keterlaluan.

Adidas tidak bertolak ansur dengan komen kebencian. Komen dan tindakan Ye baru-baru ini tidak boleh diterima, penuh kebencian, berbahaya dan melanggar nilai kepelbagaian dan polisi syarikat,” kata wakil syarikat itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok