[VIDEO] ‘Kami dah lama berbaik, masing-masing dah dewasa’

  “KAMI  bersyukur kerana pengalaman itu, masing-masing kini sudah berjumpa dengan the right man (suami yang tepat).”

Demikian kata pelakon Fasha Sandha dan Nora Danish yang memaklumkan hubungan keruh mereka kini kembali jernih seiring peningkatan usia masing-masing.

Fasha dan Nora yang ditemui HibGlam berkata, mereka sebenarnya sudah lama berbaik dan melupakan sengketa yang pernah terjadi sebelum ini.

Apa yang pernah berlaku antara kami dahulu, tidak lagi penting. Kami pun sudah semakin dewasa dan punya anak-anak.

“Anak kami adik-beradik. Jadi kami semua adalah satu keluarga. Kami juga bersyukur, kerana pengalaman itulah, masing-masing sudah berjumpa dengan lelaki yang tepat,” ujar Fasha kepada HibGlam

Pada masa sama, kedua-dua pelakon itu turut berkata, sengketa yang pernah terjadi antara mereka telah pun ditentukan oleh Allah SWT dan harus melaluinya dengan hati terbuka.

Bagi saya, apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah adalah sebaik-baik perancang. Sekarang kami saling menyayangi.

“Sebenarnya kami sudah lama berbaik semula. Apa yang berlaku kepada kami dahulu, adalah ketika masing-masing masih mentah dan darah sedang panas,” ujar Nora.

Nora dan Fasha mengakui kejadian lalu membuatkan mereka kini lebih matang dan rasional dalam menilai setiap perkara.

Bahkan kedua-duanya tidak menolak untuk bergandingan dalam drama mahupun filem jika ada peluang satu hari nanti.

“Apa yang penting, perkara yang terjadi dahulu membuatkan kami menjadi lebih matang dan boleh berfikir secara rasional.

Pengalaman lalu turut mengajar kami untuk jadi lebih dewasa. Kami juga tidak menolak untuk berlakon bersama selepas ini.

“Lagi pun kami berbaik secara semula jadi tanpa dirancang atau atas nasihat daripada sesiapa,” jelas Nora dan Fasha.

Dalam pada itu, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 39, memberitahu hubungannya dengan Nora kembali terjalin jernih selepas pelakon itu mengikuti akaun Instagramnya.

Nora ‘follow’ saya dalam Instagram. Saya tertanya-tanya sama ada nak ikut dia balik atau tidak. Selama dua minggu juga saya fikir.

“Tapi saya nampak keikhlasan dan kebaikan hati Nora. Kami ada berkomunikasi dalam Instagram sebelum menjadi rapat dan berbaik semula,” katanya.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, pula berkata, walaupun memerlukan masa untuk kembali berbaik, dia lega apabila hubungannya dengan Fasha tidak lagi keruh seperti sebelum ini.

Malah, Nora juga tidak berasa kekok saat kali pertama bertentang mata dengan Fasha selepas sengketa panjang yang terjadi antara mereka.

Kita perlu reda dengan dugaan. Apa yang terjadi sudah pun ditakdirkan walaupun memerlukan masa. Kali pertama kami berjumpa semula, tidak ada rasa kekok. Masing-masing ikhlas,” katanya.

Untuk info, hubungan dua bintang terkenal itu pernah tegang selepas Fasha dituduh menjadi punca keruntuhan rumah tangga Nora dengan bekas suaminya, Jejai atau Datuk Rizal Ashram Ramli.

Hasil perkongsian hidup, Nora dan Jejai yang berkahwin pada 2006, dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Putera Rayqal yang kini berusia 15 tahun. Pasangan itu bercerai pada 2008.

Selepas Nora dan Jejai berpisah, lelaki itu berkahwin dengan Fasha yang didakwa menjadi punca berpisahan Nora.

Perkahwinan Fasha dan Jejai pada 2012 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 11, dan Putri Raysha Jemaima, 9. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada 2016.

Kini, Nora sudah berkahwin dengan Nedium Nazri pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Neqayl Nedim, 6.

Manakala, Fasha pula telah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pelakonj Aidil Aziz pada 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira, 4. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok