Kalau tiada di dunia, dapat di akhirat – Aprena Manrose

AKUR. Itu frasa sesuai bagi menggambarkan situasi dilalui Aprena Manrose kini yang masih belum dikurniakan zuriat setelah lapan tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Mohd. Afiq Hazman.

Siapa sahaja yang menghadapi hal sama pasti akan berasa sedih, lebih-lebih lagi proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF) yang dijalani dua tahun lalu tidak berjaya.

Akibat sibuk memberikan fokus kepada rawatan IVF, penglibatan pemilik nama lengkap Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 31, dalam dunia lakonan agak perlahan. Banyak syarikat produksi dan stesen televisyen menyangka dia masih dalam tempoh bercuti.

Enggan berpaling, Aprena kini mahu kembali agresif melunaskan impian dalam dunia lakonan seperti dahulu. Dalam masa sama, dia mahu menghilangkan tekanan memikirkan isu zuriat.

“Tahun ini saya mula kembali aktif dalam lakonan sebab sepanjang 2023 serta tahun sebelumnya saya sibuk dengan prosedur IVF sehingga perlu memperlahankan karier.

“Situaisi itu membuatkan orang fikir saya sudah tidak lagi mahu berlakon. Sebenarnya duduk rumah lagi stres, jadi saya perlu bekerja. Tahun ini saya rasa tahun reda, berserah sahaja tidak mahu fikir.

“Kalau ada anak, adalah. Kalau tiada, tidak mengapa.

“Bagi saya, kalau tiada di dunia, dapat di akhirat.

“Nak stres sangat pun sudah lapan tahun kami bersabar, jadi saya dan suami boleh tunggu lagi untuk beberapa tahun akan datang,” katanya membuka bicara.

Tidak patah semangat

SUDAH bertahun menunggu, Aprena kini ambil pendekatan reda, namun tidak lelah berusaha untuk mendapat cahaya mata. – Solekan
FEIRUZ SOHOR @feiruzsohor

Biarpun mahu menyibukkan diri, sepupu kepada aktres Uqasha dan Nelydia Senrose itu tetap tidak berputus asa untuk mendapatkan zuriat sebagai pelengkap mahligai perkahwinannya.

Kini, Aprena dan suami hanya menunggu masa tepat untuk kembali menjalani rawatan IVF sekali lagi, selain belum memikirkan soal mengambil anak angkat.

Dia sebenarnya bimbang terhadap tanggungjawab yang bakal dipikul.

“Nak cuba sekali lagi kalau ada rezeki, tetapi semua atas keputusan suami kerana suami yang akan gerakkan semua sebab dia ada cakap nak buat IVF kali kedua.

“Cuma, andai masih belum ada rezeki selepas mencuba, mungkin kami akan pertimbangkan untuk ambil anak angkat.

“Sebelum ini suami cakap tidak mahu ambil anak angkat. Dia bimbang sekiranya hamil anak sendiri, kami tidak boleh bahagikan kasih sayang,” ujarnya.

Perbualan tidak terhenti di situ, pelakon berusia 30 tahun itu berkongsi pula situasi dilalui sepanjang melalui prosedur rawatan IVF yang sarat emosi.

“Masa buat IVF, saya teruja sangat nak dapatkan keputusan macam diinginkan, bahkan apabila balik rumah saya terbaring sahaja semata-mata ingin memastikan prosedur itu berjaya.

“Saya betul-betul menaruh harapan tinggi. Saya patuh dengan setiap pesanan tetapi ketika berjumpa pakar semula, doktor mengesahkan belum ada rezeki.

“Dengar sahaja ayat itu terus saya rasa kecewa sampaikan saya matikan telefon dan terus tidur sebaik tiba di rumah. Keesokan hari baru saya bercakap dengan suami,” kongsinya.

Emosi Aprena hanya kembali stabil apabila dia cuba lebih memahami erti reda dan tawakal, selain tidak berputus asa.

Bahkan kegembiraannya juga berganda apabila sepupunya iaitu Uqasha Senrose kini hamil anak pertama selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan aktor Kamal Adli.

TIDAK putus asa. Aprena dan suaminya kini masih menunggu masa sesuai untuk menjalani rawatan IVF buat kali kedua. – Penata gaya @nana.chahh, Pakaian BUTTON SCARF

Di saat memeluk kebahagiaan, pasti ada suara-suara sumbang yang tetap mengkritik sehingga melabel keluarga Senrose dan Manrose tiada zuriat.

Namun, komen negatif tersebut sedikit pun tidak menjadi duri di hati apatah lagi merobek perasaannya untuk menjerut rasa dengan mulut netizen.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok