MEKAR mewangi tanpa secalit kontroversi murahan, siapa tidak kenal figura cantik manis Wany Hasrita yang sekian lama menyita tumpuan khalayak dengan kesantunannya.
Berbekalkan kemasyhuran seiring pakej lengkap ditambah kehadiran suami dan cahaya mata sulung dalam hidup, ramai menebak wanita berusia 32 tahun itu sedang menggenggam bahagia tanpa duka terpendam di dada.
Hakikatnya, keberadaan cinta hati yang jauh di Bumi Kenyalang dek tuntutan tugas bukan mudah dihadam si isteri yang terpaksa menahan rindu persis tajuk lagunya.
Fasa terendah dalam hidup
Mengakui dalam fasa bermalas-malasan sehingga kurang bersemangat melakukan sebarang kerja, ditambah berjauhan dengan arjuna hati dek perhubungan jarak jauh (PJJ), Wany Hasrita memberitahu, dirinya pernah melalui momen terendah dalam hidup.
Ujar Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita, dia terlalu mengikut perasaan sehingga duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa selain menonton televisyen sehingga memberi kesan kepada fizikal serta mentalnya.
“Saya percaya mak-mak dalam dunia ini melalui fasa mereka sendiri dan suatu hari, saya macam dalam fasa keluar dari gua. Rasa macam tak nak buat apa-apa ditambah pula suami saya jauh di Sarawak, hilang terus semangat nak bersiap cantik-cantik.
“Berat badan saya naik hingga sehingga enam kilogram (kg). Dulu saya 53kg sahaja, sekarang jadi 59kg. Masa dalam pantang lagi kurus, bukanlah nak nampak sekeping, tetapi mahu ramping untuk sesuai pakai apa-apa baju.
“Entahlah nak cakap normal rasa macam ini, tak sangat sebenarnya. Layan sangat perasaan, kalau terlalu ikut hati boleh depresi dan buat perkara bukan-bukan, mujur ibu saya sentiasa jadi penasihat supaya tidak terus leka,” ujarnya serius.
Enggan terus terperangkap dalam situasi sedemikian, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan itu melakukan beberapa aktiviti berfaedah supaya masa senggang terisi dengan perkara bermanfaat.
“Jadi, dengan beribu sesalan memulakan hidup, semangat dan rutin baharu. Saya sekarang dah mula bersenam semula dan masuk kelas tinju untuk mengetatkan otot-otot longgar selepas beranak.
“Kita tidak boleh diri terus hanyut dengan apa yang kita fikirkan. Jadi saya kutip semula sisa-sia diri saya untuk bangkit dan terus berjuang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Bagi yang sedang melalui fasa terendah, tak mengapa. Asal diri masih bernafas, sentiasa ada ruang dan peluang untuk kita berubah dan menjalani kehidupan dengan sebaiknya,” nasihat Wany.
Enggan berlama-lama dalam topik peribadi, penulis sempat bertanya wanita tinggi lampai itu tentang perkembangan dan persiapan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung kurang seminggu sahaja lagi.
AJL38
Mengukir senyuman penuh makna, Wany mengakui tidak dapat menipu bahawa rasa gementar menyelubungi dirinya, namun sudah bersiap siaga baik dari segi vokal mahupun stamina ketika membuat persembahan.
Ujarnya, persiapan dari segi konsep dan hala tuju persembahan sudah hampir 90 peratus siap, tinggal lagi latihan lengkap dan sedikit penambahbaikan.
“Lagu Kucuma ini nampak ‘simple’, tetapi susah sebenarnya, liang-liuk serta patah lagunya mencabar fizikal, mental dan vokal saya. Untuk konsep persembahan, tinggal nak perbaiki mana yang tak okey sahaja.
“Saya harap sangat pada malam itu semuanya berjalan lancar, kadang apa yang kita rancang tidak semuanya terjadi, jadi saya berdoa agar semuanya dipermudahkan, memang takut bila memikirkan debaran malam tersebut.
“Dulu ketika AJL32 dengan lagu Menahan Rindu adalah momen pahit buat saya, tetapi AJL35 menerusi Belenggu Rindu kenangan terindah buat saya dan harapnya AJL38 kelak juga berlaku perkara sama,” tuturnya panjang lebar.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.