Kakak ipar sahkan Aslam, Marissa Dania nikah di Thailand

KAKAK ipar lelaki yang didakwa menikahi Marissa Dania Hakim, Nadiah Mazlan mengesahkan kesahihan berita pernikahan pasangan terbabit di Songkhla, Thailand.

Nadiah iaitu kakak kepada isteri pertama Aslam, Misya Mazlan berkata, semua butiran yang dilaporkan media adalah benar termasuk perkahwinan itu berlaku ketika mereka sekeluarga mengerjakan umrah pada Disember tahun lalu.

“Ya betul (Marissa dan Aslam) nikah di Thailand. Cerita sama macam apa yang dihebahkan,” katanya menerusi balasan mesej kepada sebuah portal hiburan.

Sejak petang semalam berita mengenai pernikahan anak kedua kepada selebriti, Norman Hakim dan Abby Abadi menjadi topik hangat.

Marissa dan lelaki berstatus suami serta bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa melangsungkan pernikahan tanpa pengetahuan Misya yang berada di Tanah Suci.

Sekitar September tahun lalu kecoh dalam media sosial apabila wanita terbabit tampil membongkar kecurangan Aslam dengan Marissa yang ketika itu berusia 18 tahun.

Lelaki berkenaan kemudian mendakwa dirinya sebagai insan lemah yang tidak mampu melawan apabila model tudung itu mengejar untuk kembali ke pangkuannya.

Misya pula menerusi satu hantaran dalam media sosial pula menyifatkan Marissa menjadi orang ketiga yang mengakibatkan dirinya diceraikan suami.

Begitupun, selepas isu kecurangan itu reda, pasangan terbabit kembali berbaik seterusnya mengambil keputusan untuk rujuk semula ketika dalam tempoh idah.

Sehingga kini Norman mahupun Abby tidak membalas panggilan media, manakala anak gadis mereka pula mengambil pendekatan menutup ruangan komen Instagram selepas dibanjiri kecaman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok