Jay Iswazir lemah bab loghat N9, Kelantan

SERING menggalas watak antagonis tidak sedikit pun menerbitkan rasa bosan atau jemu dalam diri pelakon berbakat besar, Jay Iswazir.

Mengakui adakalanya teringin tampil dengan karakter berbeza, namun Jay atau nama lengkapnya Ahmad Iswazir Ismail sedar diri, tidak semua watak dambaan sesuai dijayakan.

Selepas 14 tahun bergelumang dalam industri seni hiburan sebagai pelakon, Jay sudah lazim dengan selera penonton yang mahukan ‘pakej’ lengkap untuk seseorang pelakon memegang dengan watak tertentu.

“Saya sudah 14 tahun berada dalam industri. Sejujurnya memang ada watak yang ingin saya bawakan, namun belum kesampaian.

“Antara watak yang saya inginkan adalah karakter yang menonjolkan kasih sayang, namun bukan melibatkan percintaan antara kekasih.

“Maksud saya, kasih sayang yang ditonjolkan seperti melibatkan adik-beradik, sahabat karib atau sesiapa sahaja. Tapi jika tidak dapat, saya tak kecewa sebab karakter jahat yang sering saya bawa juga punya ‘nilai’ tersendiri,” katanya.

Tambah pelakon berusia 42 tahun itu, walaupun sering disua karakter sedemikian, sekurang-kurangnya ‘kerja’ sebegitu memberi dampak kepada audiens.

“Dalam dunia lakonan, saya belajar banyak perkara melalui watak antagonis, sampai akhirnya saya berpendapat, kejahatan sebenarnya boleh mengajak orang untuk menjadi baik,” jelasnya.

Satu hal lagi, walaupun dilihat sebagai pelakon berbakat besar, Jay akui punya kekurangan sehingga pernah menolak beberapa naskhah kerana tidak yakin mampu membawakan watak yang ditawarkan.

Kata pelakon Dendam Aurora itu, kadang-kadang dia terpaksa menolak jika diberikan cabaran untuk membawakan watak yang memerlukan pertuturan dialek tertentu kerana memikirkan tanggungjawab perlu digalas.

“Misalnya seperti melakonkan watak yang memerlukan saya bertutur dalam dialek atau loghat Negeri Sembilan dan Kelantan,” katanya.

Luah pelakon Dendam Aurora itu, dia terpaksa menolak tawaran watak yang memerlukan pertuturan dialek tertentu kerana memikirkan tanggungjawab perlu digalas.

“Saya tolak tawaran sebegitu kerana memikirkan tentang tanggungjawab. Berdasarkan pengalaman, seorang pelakon juga merupakan penyampai.

“Jadi bila lakonan atau dialog saya tidak sampai kepada penonton, saya sendiri akan kecewa dan rasa bersalah,” ujarnya.

Selain watak melibatkan penggunaan dialek, Jay juga mengakui tidak yakin untuk berlakon bertutur dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, anak jati kelahiran Ipoh, Perak itu memberitahu bahawa dia kini dalam usaha untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris untuk mencabar diri.

“Saya juga tidak yakin untuk berlakon yang memerlukan pertuturan dalam bahasa Inggeris. Namun, saya sebenarnya dalam usaha untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris sebagai satu cabaran untuk diri sendiri.

“Sebagai pelakon, saya kena jadi apa sahaja. Itulah antara cabaran yang sukar untuk saya lakukan sebagai pelakon, iaitu berkaitan dengan bahasa,” tutupnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok