CARILAH lelaki bujang, tak payah peningkan kepala. Sampai tua orang akan kata kau penyondol.”
Demikian teguran pelakon Zarina Zainuddin buat segelintir wanit muda yang menggatal dengan lelaki berstatus suami orang sehingga tergamak memusnahkan rumah tangga orang lain.
Meskipun bergelar isteri kedua, pemilik nama penuh Nur Zarina Mohd Zainuddin, 54, itu meminta mereka yang berdepan dengan dilema itu agar mempertimbangkan semula keputusan untuk bernikah dengan suami orang kerana cabarannya bukan mudah selain digelar penyondol sehigga tua.
Ingat ya, tak senang kahwin dengan suami orang. Jadi isteri nombor dua otak kena kuat dan kalau iman tak cukup, tidak payah! Jadi orang gila di rumah nanti,” katanya dalam video Instagram semalam.
Dalam video sama, Zarina turut menzahirkan rasa kurang senang melihat ramai wanita muda ‘kemaruk’ berkahwin dengan lelaki sudah berkeluarga sedangkan tindakan itu bukan jaminan dapat hidup mewah.
Sakit hati lihat semua yang cantik dan muda nak sangat kawin dengan suami orang kemudian jadi ala-ala wanita simpanan di rumah sebab suami takut isteri pertama mengamuk.
“Kalau boleh tak payahlah, jika hidup mewah lain cerita tetapi kalau kau pun bekerja mencari duit, memang sayang.
“Baik bercerai ketika usia muda sebelum usia tua yang ketika itu hendak berpisah pun tiada faedah,” katanya lagi.
Sementara itu, Zarina menjelaskan situasinya berbeza ketika bernikah dengan suaminya dan menjadi isteri kedua namun tetap rasa bersalah sehingga hari ini.
Kes saya lain, tidak akan sama sebab saya bukan nak menggatal. Dia bawa saya jumpa isteri pertama dan kini sudah 30 tahun saya berkahwin.
“Tetapi sehingga sekarang saya rasa berdosa besar sebab kacau hak madu saya,” luahnya.
Menerusi luahan sama, dia menasihati wanita muda agar melupakan hasrat bernikah dengan suami orang sebaliknya memilih lelaki bujang.
“Nak buat apa kalau semua hidup asyik makan hati, dia makan hati, saya makan. Suami pun semakin botak fikir hal isteri-isterinya.
Anda fikirlah sendiri, rasa nak azankan di telinga supaya jangan kahwin suami orang. Cari lelaki bujang yang berlambak di luar sana,” ujarnya.
Terdahulu, Zarina mendirkan rumah tangga dengan Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar pada 13 Julai 1993 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata lelaki termasuk sepasang kembar Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil) yang sentiasa menjadi tumpuan netizen. – HIBGLAM