PELAKON Izreen Azminda mendedahkan dia kini hamil anak keempat dengan usia kandungan telah pun memasuki trimester kedua.
Menurut Izreen, 39, kandungan kali ini agak berbeza kerana berasa cepat letih berbanding kehamilan anak-anak sebelum ini.
Alhamdulillah syukur, rezeki Allah hendak beri pada tahun ini. Rasanya sama sahaja tiada yang istimewa kerana sudah anak keempat. Cuma yang bezanya saya memang akan berasa cepat letih.
“Mungkin dalam keadaan berbadan dua dan pada masa sama harus menguruskan anak-anak yang masil kecil serta sedang lasak. Selain itu, semuanya okey sahaja,” kata Izreen ketika dihubungi Kosmo! Online.
Disoal tentang jantina, Izreen yang merupakan ibu kepada tiga orang anak lelaki tidak mengharap untuk memiliki cahaya mata perempuan, sebaliknya menyerahkan semuanya kepada rezeki.
“Saya tidak kisah soal jantina anak, asalkan anak sihat sudah memadai buat saya,” kongsi Izreen.
Terdahulu, Izreen membuat pengumuman kehamilan anak keempat menerusi Instagram berserta foto yang memaparkan fizikal sedang hamil bersama tiga anaknya.
Dalam pada itu, Izreen turut mendoakan untuk wanita yang sedang ikhtiar untuk hamil agar diberi rezeki cahaya mata suatu hari nanti.
“Bagi yang tengok gambar ini, kami doakan ampa (kalian) semua pejuang-pejuang TTC supaya dikurniakan malaikat-malaikat kecil suatu hari nanti. Insya-Allah, doa itu senjata,” tulisnya di Instagram.
Izreen mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pemuzik bebas, Ude Wahid pada 8 Ogos 2017 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang anak lelaki, Aaron Ibrahim, 5, dan Ali Idress, 3.
Sementara itu, menerusi perkahwinan pertamanya dengan pengarah, Muhammad Riza Baharudin, Izreen mempunyai seorang anak lelaki, Adrian Umar, 11. – HIBGLAM