“MAK adalah orang yang paling telus dalam memberikan komen.”
Demikian kata penyanyi dan komposer, Aina Abdul yang menyifatkan ibunya, Zaini Abdullah sebagai pengkritik paling jujur dalam memberikan teguran andai pilihan fesyen mahu pun sikapnya tersasar dari landasan.
Kata pemilik nama lengkap Nur Aina Abdul Ghani, peminat nombor satunya itu akan menjadi individu pertama yang mengirimkan mesej berupa rangkaian nasihat selepas subuh setiap kali dirinya terpalit kontroversi.
Mak merupakan pengkritik tegar saya, malah setiap kali selesai buat persembahan, keesokan harinya saya kena bersiap sedia seawal waktu subuh.
“Ini disebabkan pada masa itu akan masuk mesej bertalu-talu daripadanya sebagai peringatan dan nasihat untuk saya.
Kalau dia rasa persembahan atau gaya saya pelik sangat, dia tegur panjang lebar. Mak kita adalah orang yang paling telus dalam memberikan komen, jadi saya ikut nasihatnya,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Gempak Most Wanted 2023 (AGMW2023), baru-baru ini.
Menurut Aina yang memenangi trofi Lagu/Audio Tergempak menerusi Jangan Mati Rasa Itu, rezeki kemenangan juga adalah berkat doa ibu selain sokongan padu peminat.
Katanya, walaupun jarang mengikutinya ke mana-mana acara, insan kesayangannya itu selalu melihat dan mendoakannya dari jauh.
“Memang mak saya tak selalu ikut saya ke majlis membabitkan acara hiburan tapi saya tahu dia sentiasa titipkan doa dan tak lupa bagi ingatan,” ujarnya.
Pada masa sama, Aina turut meluahkan kebimbangan apabila ibunya juga selalu membaca komen negatif tentang dirinya di laman sosial.
Mak saya tiada media sosial, tetapi dia tengok YouTube, jadi apabila nama saya terpalit kontroversi dan ada pula banyak komen negatif, itu yang merisaukan.
“Saya takut emosinya terganggu dengan kutukan yang tentu tak sedap dibaca seorang ibu. Biasanya saya minta dia jangan tengok,” katanya. – HIBGLAM