Hisyam Hamid berhati-hati pilih naskhah, hormat pandangan penonton

PELAKON Hisyam Hamid terbuka dan menghormati pandangan sesetengah pihak terhadap filem La Luna yang turut membabitkan lakonannya apabila dikecam kerana mengandungi unsur ‘soft porn’ (lucah ringan), selain dianggap memperlekehkan agama Islam.

Hisyam, 38, ketika ditemui berkata, dia menerima pandangan setiap penonton terhadap filem tersebut kerana beranggapan orang ramai bebas untuk menyatakan pendapat masing-masing terhadap filem sentuhan pengarah asal Singapura, M. Raiham Halim itu.

“Sebenarnya setiap karya mempunyai perspektif yang berbeza. Penonton mempunyai ideologi mereka tersendiri. Jadi saya hormat setiap pandangan masyarakat tentang filem ini.

Apa yang saya boleh katakan, ketika kali pertama saya terima tawaran menjayakan filem ini, saya teliti watak dahulu. Saya sangat tertarik dengan karakter yang ditawarkan kerana jarang bawa peranan antagonis.

“Jalan ceritanya pula, mungkin ada unsur-unsur yang sensitif, sebab itu La Luna mendapat klasifikasi 16 tahun ke atas apabila ditayangkan di pawagam. Tapi bila ditayangkan dalam platform pensriman (OTT) Netflix, baru filem ini menjadi perhatian dan mengundang pelbagai reaksi,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Hisyam, walaupun dia tidak terbabit dengan babak kontroversi, sebagai pelakon yang terlibat dalam La Luna, dia tidak terlepas daripada menerima kecaman netizen.

Sebenarnya komen yang saya terima pelbagai. Ada positif dan ada yang negatif. Watak saya sebagai Pa’at, seorang suami kaki pukul menerima banyak komen positif.

“Cuma ada juga netizen yang kecam dengan cakap filem ini tidak bermanfaat dan mempersendakan agama.

Bagi saya, sebenarnya terdapat mesej positif yang boleh kita lihat menerusi La Luna. Cuma daripada segi penyampaiannya kena lebih berhati-hati,” tegas Hisham.

Hisyam yang ditemui semasa majlis Anugerah Telenovela baru-baru ini menambah, sebagai pelakon dia sememangnya berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran berlakon akan menolak jika watak tidak sesuai dengan dirinya.

Saya memang berhati-hati daripada dulu lagi. Bila dapat tawaran kurang sesuai, saya tidak akan terima. Misalnya watak yang menuntut melakukan babak-babak yang saya kurang selesa, saya tidak buat,” katanya.

Selepas mengambil kira komen-komen yang diberikan, Hisyam berharap pihak produksi tempatan perlu lebih berhati-hati dalam memaparkan babak sensitif dan berpotensi mengundang rasa kurang senang masyarakat.

Mungkin selepas ini pihak produksi boleh berhati-hati dalam memaparkan babak yang agak sensitif. Ikutkan ada banyak lagi filem yang lebih ‘berani’ ditayangkan dalam Netflix tapi mungkin disebabkan La Luna dihasilkan produksi tempatan jadi masyarakat agak sensitif dan kita kena hormat,” katanya.

Terdahulu, La Luna yang turut dibintangi pelakon Shahiezy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Nadiya Nisaa, Nam Ron dan Farah Ahmad dikritik apabila penonton mendakwa filem itu mengandungi unsur lucah ringan dan memperlekehkan agama.

La Luna mengisahkan tentang seorang wanita bandar bernama Hanie (Sharifah Amani) membuka sebuah kedai pakaian dalam bernama La Luna di kampung Bras Basah.

Kehadiran Hanie diterima baik masyarakat namun ditentang hebat oleh ketua kampung (Wan Hanafi Su) yang mahu memusnahkan perniagaan tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok