Hilang jari kelingking, Shahronizam trauma potong ayam

“DUA atau tiga hari sebelum ini pun saya potong ayam menggunakan sebelah tangan sebab risau nanti ibu jari pula yang hilang.”

Demikian perkongsian pelakon Shahronizam Noor yang mengakui masih dihantui trauma berikutan kehilangan jari kelingking ketika memotong ayam pada April tahun lalu.

Bimbang insiden sama berulang, pelakon berusia 52 tahun itu berkara diirnya kini lebih berhati-hati dalam melakukan apa juga kerja yang melibatkan objek tajam.

“Sekarang saya lebih berhati-hati malah fungsi tangan pun sudah kurang berbanding dulu, dah tak kuat, ada benda tak boleh buat.

“Kalau ada babak melibatkan fizikal seperti berlawan atau perlu aksi saya ada kekurangan sikit, dah tak boleh lincah macam dulu lagi,” katanya kepada HIBGLAM

Ditanya adakah pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu merancang untuk mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU), dia berkata belum berkesempatan berbuat demikian.

“Saya rancang nak buat, rakan-rakan pun suruh saya buat kad OKU cuma belum sempat buat lagi.

“Mereka kata ada juga kegunaan kad OKU di kemudian hari seperti boleh dapat bantuan.

“InsyaAllah, saya akan buat selepas ini. Tunggu ada masa sikit, sekarang ada banyak kerja yang perlu diselesaikan,” jelasnya pada malam gala filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, kelmarin.

Terdahalu, sekitar April tahun lalu, suami kepada penyanyi Safura Yaacob itu kehilangan jari kelingking tangan kiri selepas pisau pemotong daging digunakan untuk memotong ayam tersasar.

Dalam perkembangan lain, Shahronizam antara barisan pelakon yang menjayakan filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam bersama Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad dan Eriza Aliya yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 15 Februari ini. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok