TIADA selera makan dan kerap pening kepala, pelakon Zahirah MacWilson mendedahkan mengalami alahan teruk pada awal kehamilan anak keduanya.
Bagaimanapun, Zahirah atau nama lengkapnya Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson, 29, bersyukur apabila semuanya kembali normal apabila usia kandungan memasuki trimester kedua.
“Setakat ini Alhamdulillah, kandungan dan keadaan saya semakin baik. Semuanya dipermudahkan Allah.
“Tapi saat paling getir adalah ketika trimester pertama yang sangat teruk apabila saya berdepan masalah alahan sepanjang hari sampai hilang selera makan dan kerap pening kepala.
“Mujurlah apabila kandungan masuk trimester kedua, semua sudah okey sikit dan sekarang saya kembali normal. Fasa alahan teruk itu macam sudah berlalu pergi,” katanya dalam hantaran menerusi Instagram Story.
Menerusi perkongsian berbeza, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu turut mendedahkan reaksi comel anak sulungnya, Isacc Raees yang teruja bakal bergelar abang tidak lama lagi.
Disoal netizen mengenai jantina permata hati keduanya itu, Zahirah memilih untuk merahsiakan perkara tersebut dengan menyatakan bakal mengumumkan apabila sudah bersedia kelak.
“Untuk jantina, memang saya dan suami sudah tahu, tapi buat masa sekarang biarlah kami simpan untuk kami sekeluarga sahaja.
“Tetapi jangan risau, saya akan dedahkan jantina anak saya bila tiba waktu yang sesuai nanti, saya pasti akan kongsi dengan anda semua.
“Apapun mohon doakan agar kandungan dan urusan bersalin saya nanti dipermudahkan,” katanya.
Sebelum ini, suaminya, Aiman turut meluahkan perasaan tidak sabar menanti kedatangan tahun 2024 kerana ingin menyambut kelahiran anak kedua mereka.
Aiman dan Zahirah mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Isaac Raees yang kini berumur dua tahun.