DEMI membantu golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dan anak-anak tahfiz, pertubuhan Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) yang dianggotai penggiat seni yang aktif menjalankan perniagaan tampil melancarkan Program Infaq.
Presiden GTAS, Anne Abdullah berkata, dalam penganjuran sulung acara ini, pihaknya telah bekerjasama dengan Kafe Fusion 21 di Subang Jaya serta beberapa pihak lain.
“GTAS memiliki lebih 100 orang ahli, namun untuk program pengenalan hanya membabitkan barisan exco, antaranya pelakon Liza Abdullah, Nadia Kesuma, Ainina Ahmad B, Syanie, Rahim Omar, Zaleha, Rashid Jaafar dan Mohd Nor Bond.
Program ini akan dijalankan secara bulanan. Untuk yang pertama, kami pilih meraikan anak-anak Pusat Jagaan Suci Rohani dari Subang Jaya.
“Pada program berikutnya, kami akan tampilkan artis-artis veteran pula untuk menyantuni mereka yang dipilih nanti. Dana program adalah daripada GTAS dengan tajaan beberapa pihak lain,” katanya.
Anne, 52, berkata, bukan sahaja anak yatim, malah ahli GTAS yang berdepan kesukaran hidup juga akan dibantu.
“Mereka yang tiada tawaran lakonan dan pendapatan, kami akan beri infaq. GTAS turut dianggotai oleh pelakon lama seperti Mak Wan Julia dan kami ada membantunya.
Keutamaan bantuan hanya untuk ahli tetapi dulu kami pernah memberi sumbangan RM3,000 kepada pelakon Aman Graseka ketika isterinya hendak bersalin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“GTAS ada bahagian untuk kebajikan dan ada peruntukan, tetapi kami bukan badan kebajikan. Apa yang dilakukan adalah secara ikhlas hati ahli-ahli. Saya kongsi nombor akaun dalam grup WhatsApp kami, terpulanglah siapa nak bantu,” katanya.
Bercakap mengenai peranan sebenar GTAS, Anne berkata, mereka biasanya terbabit dengan perniagaan.
“Kami NGO dan usahawan berniaga terdiri dari penggiat seni. Cuma kita ada sifat perikemanusiaan jika ada ahli sakit akan dibantu. GTAS macam satu keluarga. Ahli GTAS adalah pelakon yang sukar dapat peluang berlakon.
Saya sendiri seorang penerbit dan susah dapat peluang hasilkan drama. Bayangkan ada 3,000 permohonan dibuat kepada RTM, namun hanya 50 penerbit diberi peluang.
“Sebab itu kita kena ada perancangan lain iaitu dengan berniaga. Ahli yang susah kita bagi modal. Buat mereka yang tiada produk, ambillah produk orang lain dan jual. Setakat hari ini boleh dikatakan hampir kesemua ahli ada produk sendiri,” katanya.
Menurutnya, ahli GTAS hanya terhad kepada 100 orang sahaja, namun permintaan yang tinggi daripada penggiat seni membuatkan dia membuka penyertaan kepada 110 orang.
“Saya mahu melahirkan ramai usahawan selebriti, jika tiada tawaran lakonan atau jika usia sudah lanjut mereka masih ada jalan lain untuk meraih pendapatan.
Tidak perlu meminta-minta jika masih mampu bekerja dan kami di GTAS bersedia untuk membantu artis yang ingin berniaga.
“Cuma buat masa ini memang pihak GTAS tidak dapat membuka lebih banyak jumlah keahlian kerana kita pun ada kekangan daripada dana, masa dan bagi memudahkan menguruskan semua ahli hanya itu sahaja jumlah ahli yang mampu diterima,” kongsi Anne. – HIBGLAM