PELAKON Fatiya Latiff kembali menarik perhatian ramai apabila meletakkan syarat akan berhenti daripada mengganggu bekas teman lelakinya iaitu pelakon, Aiman Hakim Ridza, jika lelaki itu membuat permohonan maaf secara terbuka terhadapnya.
Syarat itu dikongsikan Fatiya atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latif, 36, itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Akan berhenti (mengganggu) selepas awak (Aiman) buat permohonan maaf kepada saya secara terbuka (dalam media sosial),” tulis Fatiya.
Dalam hantaran itu juga, pelakon drama Ariana Rose itu turut berkongsi sekeping foto didukung bekas kekasihnya itu yang dipercayai dirakam semasa mereka bercinta dahulu.
Bagaimanapun, Fatiya dilihat telah memadam perkongsian tersebut selepas beberapa jam dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Sebelum ini, Fatiya menegaskan dirinya layak untuk memuat naik sebarang foto dan perkara berkaitan bekas kekasihnya itu, namun bukan kerana mereka pernah menjalinkan hubungan cinta.
Malah, Fatiya turut menafikan sedang melakukan provokasi terhadap rumah tangga Aiman bersama isterinya iaitu pelakon, Zahirah Macwilson.
Paling mencuri perhatian, dalam satu sesi temu bual bersama penyanyi dan juga aktivis kemanusiaan, Caprice pada 11 Januari lalu, Fatiya mengakui masih menyimpan dendam terhadap Aiman, namun tidak menjelaskan puncanya dengan terperinci.
Dia bagaimanapun dilihat belum dapat melupakan kisah putus cintanya apabila memberi kenyataan ‘putar belit’ ketika ditanya sama ada sudah melupakan Aiman atau belum.
Saya sudah ‘move on’. Kalau belum ‘move on’, saya tidak akan berkongsi fotonya.
“Saya tidak ‘move on’ sebab saya ada dendam terhadapnya. Saya tidak mencintainya lagi tetapi saya ada dendam,” katanya sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun untuk bercuti.
Kontroversi Fatiya mula tercetus selepas dia melabel wajah Zahirah seperti pembantu rumah pada 8 Januari lalu, selain menuduh aktres itu melakukan pembedahan plastik pada bibirnya.
Tidak berhenti di situ, Fatiya kemudiannya berkongsi satu persatu kenyataan bersifat provokasi dalam media sosial, sehingga mencetuskan rasa kurang senang dan kebimbangan orang ramai mengenai Kesihatan mentalnya ketika itu.
Fatiya sebelum ini pernah menjalin hubungan cinta dengan Aiman, namun perhubungan mereka berakhir pada Disember 2015.
Aiman kemudian menamatkan zaman bujang dengan Zahirah pada 20 Februari 2020 dan mereka bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE