Emosi perenang unggul dunia latari Nyad

DIANGKAT ke layar perak berdasarkan kisah benar keazaman kental seorang wanita bernama Diana Nyad yang berenang sejauh 110 batu dari Cuba ke Florida, Nyad berdiri sebagai sebuah biopik bernuansa semangat kesukanan sungguh luar biasa kemenjadiannya.

Berdurasi lebih dua jam, apa yang menjadikan karya arahan dua sutradara Elizabeth dan Jimmy Chin tersebut lebih hebat adalah permainan karakter dua tunggak utamanya, Annette Bening sebagai Diana Nyad dan Jodie Foster (Bonnie Stoll).

Barangkali, ramai yang meletakkan harapan tinggi agar Emma Stone dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik atas kehebatan Poor Things, namun andai juga rezeki tertulis buat Bening untuk memberikan cabaran dan menggondol trofi berkenaan, itu tidak mustahil.

Tidak mustahil juga untuk ada keputusan seri atau tie seperti mana berlaku pada Anugerah Akademi ke-41 yang menyaksikan Barbra Streisand dan Katharine Hepburn sama-sama diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

PADA usia 65 tahun, Annette Bening nyata aktres yang sungguh luar biasa ketika beraksi sebagai Diana Nyad.

Lakonan hebat Bening

Keberkesanan lakonan Bening sebagai Diana Nyad terserlah bukan sahaja dari segi emosi, semangat kesukanan, kepantasan fizikal dan cara aktres itu menyelinap ‘masuk’ dalam diri Nyad yang disifatkan ramai sebagai luar biasa.

Bayangkan pada usia 60 tahun, dia merenangi perairan penuh ombak ranjau selepas beberapa siri kegagalan, Bening bukan sekadar melakonkan tetapi ‘menghirup oksigen’ sebagai Diana Nyad.

Babak ketika dia nyaris maut akibat sengatan obor-obor adalah apa yang masih berbekas dan basah dalam fikiran penulis sehingga sekarang. Biarpun hanya duduk di bangku audiens, terasa seperti ada bersama-sama dengan Diana Nyad berdepan seribu satu misteri dan bahaya merentasi lautan luas.

JODIE Foster sebagai rakan baik DIana Nyad banyak menjadi sayap kanan yang menyemarakkan lagi keazaman sahabatnya itu meraih kejayaan.

Selain lakon layar yang membekas dan pengarahan luar biasa, Nyad juga diperkuat dengan keberkesanan pelakon pembantu seperti Foster sebagai Bonnie Stoll dan Rhys Ifans (John Bartlett).

Kata orang, kalau ingin menjayakan sesebuah misi, tidak akan berjaya tanpa pasukan yang lengkap. Dalam misi Diana Nyad mencipta rekod dunia, antara tunjang terlakarnya kejayaan adalah ‘sinergi’ rakan-rakan seperti Stoll dan Bartlett.

]Kalau tiada Stoll yang bermain ‘tarik tali’ dengan impian Nyad, memang tidak akan berlaku keajaiban dunia oleh perenang itu, sekali gus memberi semangat dan inspirasi kepada orang ramai bahawa tiada yang mustahil dalam kehidupan ini, waima usia.

Apa yang ditonjolkan dalam Nyad adalah sebuah realiti yang harus diyakini dunia.

Dengan Bening dan Foster masing-masing meraih pencalonan dalam kategori Pelakon Wanita dan Pembantu Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi ke-96, barangkali kedua-dua pelakon itu akan mencipta magis tersendiri pada acara berkenaan.

Sekalipun tidak Bening menang trofi utama (sebab saingan sangat sengit dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik), mungkin boleh ditebus Foster dengan merangkul trofi atau menyerlah dalam kategori pelakon pembantu.

Jika ada dalam kalangan yang membaca ulasan picisan ini dahagakan inspirasi untuk melunaskan sesuatu yang dianggap mustahil, barangkali dengan menonton Nyad, segala keraguan atau harapan yang punah akan menemui kesembuhan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok