Dipertikai dapat anugerah khas AGMW2023, Melly Goeslaw enggan peduli kecaman

PEMBERIAN trofi khas di Anugerah Gempak Most Wanted 2023 (AGMW2023) dipertikai hanya disebabkan status sebagai penyanyi luar,  Melly Goeslaw enggan peduli pandangan negatif segelintir netizen.

Kata Melly atau nama lengkapnya Melliana Cessy Goeslaw, 50, dia menghargai setiap komen kerana memahami setiap individu mempunyai pendapat berbeza dalam setiap perkara.

“Saya kurang tertarik untuk memikirkan kecaman kerana secara peribadi saya seorang yang bersikap terbuka selain turut membuka diri untuk perkara baharu.

Ini kerana saya juga harus menghargai perbezaan pendapat. Di Indonesia, ada juga beberapa anugerah yang diberikan kepada artis luar negara termasuklah Malaysia, Singapura, Filipina dan sebagainya.

“Keterbukaan di semua tempat harus diraikan untuk kita dapat berekspresi lebih luas lagi,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang akhbar Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends, hari ini.

Dalam masa sama, penyanyi yang digelar Queen Of Soundtracks itun turut mendedahkan tidak membaca komen, sebaliknya hanya fokus kepada kerjaya.

Saya tidak baca komen dan hanya berkarya sahaja. Apa yang pasti dalam kehidupan ini, saya boleh kawal apa yang keluar dari diri saya baik dari segi kehidupan, kerjaya dan lain-lain.

“Namun, orang lain kita tidak boleh kawal. Pada saya, selama apa yang saya lakukan itu benar dan menginspirasi ramai orang, insya-Allah akan datang perkara baik,” ujarnya.

Kunjungan penghibur itu ke Kuala Lumpur bukan sekadar menerima trofi Hall of Fame di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi, malah turut mengumumkan konsertnya pada 1 Jun depan di Axiata Arena.

Hadir sama pada majlis sidang media konsert adalah suaminya yang juga komposer Anto Hoed.

Dalam perkembangan lain, Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends itu nanti dianjurkan Icon Entertainment dan AKE Group.

Melly dikecam peminat yang tidak berpuas hati dengan pemilihannya sebagai penerima anugera khas pilihan penganjur di AGMW2023 merasakan ramai lagi artis tempatan yang lebih layak.

Pada acara itu, sebanyak sembilan kategori untuk mengiktiraf pembuat kandungan digital termasuk kalangan artis yang dipertandingkan.

Namun trofi Hall of Fame adalah anugerah bukan menerusi undian ramai, sebaliknya pilihan penganjur bersandarkan pencapaian berterusan serta nilai relevan hasil kerja penerima dengan perkembangan digital. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok