Demam virus, Iman Troye masuk hospital

PENYANYI Iman Troye dimasukkan ke sebuah pusat perubahan swasta di Kuala Lumpur berikutan demam virus dengan suhu badan yang tinggi.

Pemilik nama sebenar Siti Nur Alyssa Sahabudin, 21, itu berkampung di wad bagi mendapatkan rawatan sejak kelmarin.

“Sekali lagi,” katanya dalam keterangan gambar yang dikongsi menerusi Instagram Story semalam.

Dalam foto tersebut, penyanyi lagu Teman itu menunjukkan bahagian tangan yang sudah dipasang saluran IV drip iaitu tiub berongga untuk memasukkan air.

Menurut pengurusnya, Adib Hamdi, kondisi Iman kini menunjukkan perkembangan positif, namun masih perlu banyak berehat.

Dia mengalami dehidrasi dan dimasukkan drip air tetapi Alhamdulillah keadaannya semakin okey,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Begitupun, menurut Adib berikutan serangan demam virus itu, beberapa tugasan penting yang sudah disusun awal perlu dirombak semula.

“Iman sepatutnya terlibat dengan beberapa aktiviti kempen promosi jenama diwakili dalam masa terdekat sebagai duta.

Cuma buat masa ini kerja itu terpaksa ditunda ke tarikh lain, namun kami berterima kasih kepada pihak terlibat yang memahami situasi tidak dijangka ini.

“Terima kasih juga kepada peminat serta rakan yang mendoakan kesihatan Iman. Insya-Allah dia mungkin dibenarkan keluar hospital esok,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok