Debaran kemuncak Bintang RTM 2024 

SERAMAI enam peserta layak mara ke pentas akhir pertandingan Bintang RTM 2024 yang bakal berlangsung di Auditorium Angkasapuri Seri Angkasa, Kota Media pada 24 Februari ini.

Finalis yang dipilih pada konsert separuh akhir pada Sabtu minggu lalu adalah Roxy Ixzy, Eylia Guntabid, Dhania, Hady Huvv, Feka dan Joy.

Roxy cemerlang

Manakala dua lagi peserta yang turut bersaing pada peringkat semi final itu, Shah Rezza dan Scha Nuril terpaksa akur dengan keputusan juri apabila tersingkir.

Pada konsert tersebut, Roxy mendendangkan lagu I See Red yang dipopularkan Everybody Loves an Outlaw, Eylia (Astana – Ernie Zakri), Joy (Rindunya Rindu – Afieq Shazwan), Dhania (Emas – Nadeera), Hady (Peluang Kedua – Nabila Razali) dan Feka (Bukan Dia Tapi Aku – Judika).

Sementara itu, Shah Rezza pula menyampaikan lagu Rumah Singgah (Fabio Asher) dan Scha Nuril pula membawakan lagu Semalam nyanyian Aina Abdul.

Saingan pada peringkat separuh akhir diadili juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat dan LY, manakala penyanyi, Liza Hanim dan Noraniza Idris sebagai juri jemputan.

Bagi kategori Anugerah Juri Jemputan, Roxy Ixzy diumumkan sebagai pemenang, sekali gus membawa pulang RM1,000 serta pakej tajaan spa.

Ini adalah kemenangan ketiga Roxy selepas menampilkan persembahan cemerlang sepanjang enam minggu Bintang RTM 2024 bersiaran.

Wang tunai, kereta

Sementara itu, Juara Bintang RTM 2024 bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM78,000 dan kereta Proton Iriz, manakala naib juara pula akan menerima sebanyak RM35,000.

Pemenang tempat ketiga pula diberikan wang RM20,000 dan tempat keempat hingga keenam masing-masing memenangi RM5,000.

Pertandingan pencarian bakat Bintang RTM 2024 diadakan semula pada musim ini selepas lima tahun direhatkan.

Bertahan selama 50 tahun sejak dimulakan pada 1973, pertandingan ini meneruskan legasi mencungkil bakat vokal serta versatil dalam bidang nyanyian.

Edisi 2024 menyaksikan 14 peserta terbaik dari seluruh negara yang berusia antara 15 hingga 25 tahun bersaing bagi merebut gelaran Bintang RTM.

Konsert Bintang RTM 2024 dikendalikan Awal Ashaari yang menemui penonton secara langsung di TV2 pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

Siaran langsung ini juga boleh diikuti secara dalam talian melalui RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) dan radio rasmi BRTM 2024 adalah NASIONALfm.

Sebelum ini, Bintang RTM telah melahirkan ramai bintang, termasuklah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Allahyarham Rohana Jalil, Ramlah Ram, Azharina Azhar dan Ernie Zakry.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok