David Teo sedia toleransi, Hun Haqeem terus ingkar

PENGARAH Urusan Metrowealth International Group (MIG), David Teo mendakwa pelakon Hun Haqeem masih belum memberikan sebarang respons berhubung bayaran sebanyak RM613,950 sebagaiamana diperintahkan mahkamah susulan pelanggaran kontrak dua tahun tahun lalu.

Penerbit filem itu berkata, sebelum ini pihaknya sedia bertolak ansur menyelesaikan isu tersebut secara baik, namun pemilik nama lengkap Haqeem Hermy itu tetap berdegil selain enggan dibawa berbincang.

“Dia tidak pernah menghubungi saya selepas keluar dari MIG sampailah sekarang, bahkan sepanjang tempoh ini kami hanya berkomunikasi menerusi peguam masing-masing.

“Sejujurnya pihak saya masih mempunyai budi bicara untuk selesaikan hal ini dengan diplomasi, tetapi apabila dia ingkar dan enggan bertolak ansur, kami terpaksa guna peguam.

“Sepatutnya kalau boleh saya tidak mahu pun babitkan peguam mahupun proses mahkamah dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Ditanya tempoh Hun perlu melunaskan semua bayaran, David berkata masih menunggu keputusan Mahkamah Rayuan selepas mengemukakan bukti-bukti kos kerugian.

“Selepas ini ada satu prosedur mahkamah untuk kami tunjukkan bukti serta resit kepada Mahkamah Rayuan sekali lagi.

“Jadi, selepas itu baru kami tahu berapa angka yang perlu bayar selain jangka masa untuknya melunaskan bayaran.

“Sekarang saya masih menunggu untuk mendapatkan tarikh dari mahkamah untuk kemukakan semua bukti,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, David mendedahkan bahawa Hun diperintahkan untuk membayar ganti rugi lebih RM 600,000 kepada syarikat MIG selepas dikatakan melanggar kontrak.

Pada tahun 2021, timbul khabar angin mengatakan Hun sudah angkat kaki dari MIG sejak Januari dan menguruskan diri tanpa bergantung pada mana-mana syarikat.

Sehingga kini, tiada pengesahan daripada mulut aktor berusia 26 tahun itu berhubung keputusannya keluar daripada pengurusan MIG. Percubaan Kosmo! Online cuba mendapatkan kenyataan pelakon drama popular Kampung People itu, masih gagal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok