LAZIMNYA Tahun Baharu Cina dirai dengan acara makan besar sebagai simbolik ‘ong’ menurut kepercayaan masyarakat Tionghua namun berbeza pula cara pelakon yang semakin menempa nama, Daniel Fong.
Setiap tahun, Daniel, 30, bersama ibu bapanya akan terbang ke luar negara dan menikmati percutian bersama.
Katanya, melancong ke luar negara ketika Tahun Baharu Cina itu telah pun menjadi tradisi keluarga sejak dia berusia 10 tahun lagi.
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, kali ini, Daniel dan keluarganya menyambut perayaan di bumi Taiwan dan menghabiskan masa sekurang-kurangnya selama lima hari di negara pulau tersebut.
Daniel yang ditemu bual HibGlam semasa sesi fotografi istimewa bersempena edisi Tahun Baharu Cina berkata, walaupun ‘terpesong’ dengan kelaziman dalam budaya masyarakat, dia punya alasan tersendiri merayakan sambutan hari istimewa tersebut di luar negara.
“Hanya ketika Tahun Baharu Cina sahaja, bapa saya ada masa untuk bercuti. Selebihnya, dia sentiasa sibuk menguruskan perniagaan.
“Jadi, sejak saya berusia 10 tahun lagi, kami sekeluarga akan menyambut hari istimewa ini dengan pergi melancong ke luar negara, sekurang-kurangnya selama lima hari. Jadi tahun ini kami akan ke Taiwan,” ujarnya.
Kata pelakon Legenda Puteri Kasih itu lagi, hanya selepas raya kelima, dia dan keluarga akan pulang ke tanah air dan meraikan sambutan perayaan bersama saudara-mara dan rakan-rakan.
“Jadi, keluarga saya tidak ada tradisi makan besar, sebab selalunya kami akan ‘terbang’ pada malam Tahun Baharu Cina.
“Selepas lima hari baru kami akan pulang dan meraikannya bersama saudara-mara,” katanya.
Mendengar cara Daniel meraikan Tahun Baharu Cina, mungkin ramai yang beranggapan pelakon yang mula terjun dalam industri lakonan sejak 2018 itu hidup bersimbahkan kemewahan.
Namun realitinya, Daniel yang juga merupakan anak tunggal sebenarnya lahir dan membesar dalam keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.
Mengimbas semula memori ketika zaman kecilnya, Daniel sekeluarga pernah melalui detik sukar apabila dihalau dari rumah gara-gara tidak mampu untuk membayar sewa kediaman mereka.
“Boleh dikatakan, kami sekeluarga hidup dalam serba kekurangan. Bapa saya pernah mengusahakan restoran, tetapi gagal.
“Kejadian dihalau keluar dari rumah itu berlaku ketika saya berusia enam tahun, namun saya masih ingat sehingga ke hari ini,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM