‘Cukup jika boleh jaga saya, bawa cincin sahaja nikah nanti’

“SETIAP tempat yang dikatakan mustajab untuk berdoa di Mekah dan Madinah, saya akan selitkan juga soal jodoh.”

Demikian kata pelakon Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim ketika berkongsi mengenai doa yang dimohon sewaktu menunaikan umrah di Tanah Suci pada penghujung tahun lalu.

Bukan tak nak kahwin, tetapi tidak berkahwin juga bukan satu dosa kerana Allah SWT mahu jadikan kita yang terbaik. Jika saya tiada jodoh di sini (dunia), mungkin jodoh saya di syurga nanti.

“Apa-apa pun, saya berserah pada Allah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujar pelakon berusia 41 tahun itu lagi, meskipun jodoh lambat tiba, dia tidak bersedih kerana percaya semuanya telah diatur oleh Allah S.W.T

Pada masa sama, dia juga percaya ada hikmah di sebalik setiap perkara dan sentiasa berfikiran positif meskipun masih belum bertemu jodoh.

Mungkin ada hikmah saya belum bertemu jodoh sehingga hari ini. Saya kena perbaiki diri sendiri dahulu dan jaga ibu bapa. Kita kena tengok juga daripada sudut positif.

“Kalau orang bertanya (tentang jodoh), memang saya terasa juga. Sebab siapa yang tidak mahu berkahwin?

Percintaan saya sebelum ini semuanya tidak menjadi, belum sampai waktu. Nak buat macam mana?” katanya lagi.

Sherry yang ditemui di majlis Anugerah Telenovela, baru-baru ini tetap bersyukur apabila dikelilingi keluarga dan rakan-rakan yang amat menyayangi dirinya.

Saya sudah mencecah usia 41 tahun, sudah biasa hidup begini (solo).

“Saya ada keluarga dan rakan-rakan yang sayang dan menyokong saya. Peminat saya juga sentiasa ada,” ujarnya.

Pada masa sama, dia menolak dirinya dikatakan cerewet dalam memilih pasangan.

“Ciri-ciri yang penting adalah Islam. Kalau ada yang masuk meminang, keluarga bersetuju dan saya pun rasa okay, saya terima.

Saya sudah doa semua itu. Saya mahu mencari orang yang betul-betul ada bersama saya ketika susah dan senang.

“Wanita yang sudah mencecah usia 40-an perlukan lelaki sebegitu. Saya tidak minta lebih, cukup jika dia boleh menjaga saya. Nak nikah nanti bawa cincin sahaja. Saya pun pernah ‘date’ dengan orang biasa-biasa sahaja,” katanya.

Sekitar 2021, Sherry pernah dikaitkan dengan Ryzal Jaafar apabila dia diberikan hadiah berupa jambangan bunga lili oleh pelakon tersebut ketika ulang tahun kelahirannya.

Apa yang menariknya, Ryzal telah memberikan sendiri bunga tersebut kepada Sherry sewaktu berkunjung ke salun miliknya di Publika.

Dek kerana hadiah yang agak istimewa itu, timbul pula spekulasi tentang hubungan mereka. Bahkan Ryzal turut memuat naik kapsyen Istimewa apabila memaklumkan penerima jambangan itu (Sherry) sukakan bunga lili. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok