Cromok lancar kelab peminat selepas 37 tahun

SELEPAS hampir empat dekad ditubuhkan, band trash metal Cromok bakal menubuhkan kelab peminat bagi merealisasikan konsert secara maya.

Kata pemain gitarnya, Karl atau Khairul Anuar Shariff, perancangan itu tercetus selepas adanya permintaan pengikut tegar yang tinggal di luar Lembah Klang.

“Sebenarnya kami mahu melancarkan kelab peminat secara rasmi memandangkan platform media sosial berkembang pesat.

Peminat Cromok pula 70 peratus adalah dari Kuala Lumpur dan lokasi sekitar, manakala selebihnya di kawasan luar daerah termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apabila himpunkan penggemar dalam satu kelab, mudah untuk mengatur aktiviti termasuk merealisasikan persembahan mega dalam talian berikutan permintaan ramai,” katanya pada sidang media Konsert Clash of Titans, semalam.

Menurut vokalis kumpulan otai yang ditubuhkan di Australia itu, Shamsudin Ali atau Sam, pelancaran kelab peminat hanya dilancarkan selepas konsert mega bersama A.C.A.B di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Mac depan.

“Tumpuan kami kini adalah Clash of the Titans iaitu gabungan thrash metal dan street punk yang hanya tinggal tiga minggu lagi untuk disempurnakan.

Selepas itu barulah fikirkan konsert dalam platform media kerana sudah beberapa kali buat ‘live’ ramai minta konsert maya sebab mereka tinggal jauh serta sanggup bayar tiket mencecah RM100.

“Kami memang serius nak buat konsert seperti yang pernah dilaksanakan ramai artis antarabangsa lain. Kalau BTS boleh raih 100 juta tontonan, kita juga berpotensi besar,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai konsert menggandingkan dua gergasi dalam genre muzik berbeza, Miji selaku pemain dram pula mengakui teruja beraksi dalam persembahan yang pasti bakal mencatat sejarah industri muzik tanah air.

Julung kali Cromok akan kolaborasi dengan genre muzik yang berbeza Thrash Metal + Street Punk, malah kami juga akan main lagu A.C.A.B, begitu juga sebaliknya.

“Tentu saja ada kejutan dan kalau nak tau ‘bunyi’ apa yang kami perdengarkan selain seleksi asal Cromok. Banyak lagu yang belum diperdengarkan sebelum ini,” katanya.

Tiket berharga antara RM180 sehingga RM250 yang dijual menerusi myticketempire.com/cromokxacab sudah terjual melebihi 50 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok