Cium kekasih menang Super Bowl, Taylor Swift ‘diserang’ netizen

PENYANYI terkenal Taylor Swift teruk dikecam apabila bercium dengan teman lelakinya, Travis Kelce sejurus selepas pasukan lelaki itu, Kansas City Chiefs menjuarai kejohanan tahunan sukan bola sepak Amerika, Super Bowl 2024.

Ramai peminat tidak berpuas hati terhadap Swift apabila dia dilihat sengaja mencuri tumpuan pada acara sukan nombor satu Amerika Syarikat itu sedangkan yang bertanding adalah kekasihnya.

Kenapa bola sepak Amerika jadi tentang Taylor Swift? Dia kelihatan keliru dan tak tahu apa-apa pun tentang sukan itu.

“Baik letakkan fokus kepada para pemain yang bermati-matian bermain atas padang, bukan wanita yang sekadar tunjuk minuman bergelas setiap kali kamera dibidik ke arah dirinya,” demikian antara komen peminat dalam media sosial.

AKSI Taylor Swift dan kekasihnya, Travis Kelce yang mengundang kemarahan ramai peminat selepas tamatnya Super Bowl 2024.

Bagaimanapun, penyanyi Britain Adele tetap mempertahankan Swift yang menerima kecaman bertubi-tubi daripada netizen.

“Kalian yang sibuk mengecam Swift kerana hadir ke perlawanan memberi sokongan kepada kekasihnya, tolong, get a life! (cari bahagia hidup sendiri!),” ujarnya dalam satu persembahan sebelum ini.

Terdahulu, Kansas City Chiefs diangkat sebagai juara Super Bowl LVIII usai mengalahkan San Francisco 49ers dengan skor 25-22 di Stadium Allegiant, Nevada, Amerika Syarikat.

Pentas stadium dimeriahkan persembahan Halftime Show  daripada  penyanyi Usher yang cemerlang mendendangkan seleksi hitnya seperti Caught Up, U Don’t Have a Call, Love In This Club dan banyak lagi dalam tempoh hampir 13 minit.

Selain menghadirkan persembahan penuh bertenaga dengan pertukaran busana luar biasa, Usher atau nama sebenarnya, Usher Raymond IV mencuri perhatian audiens dengan menanggalkan baju ketika melakukan persembahan, sekali gus mempamerkan badan kekar kepada lebih 60,000 penonton di stadium.

USHER menghiburkan lebih 60,000 penonton dengan deretan lagu popularnya.

Lelaki berusia 46 tahun itu turut mengimbau nostalgia apabila menari dan menyanyi seraya menggunakan rollerblade atau kasut roda ketika mendendangkan lagu popularnya.

Turut mencuri tumpuan juga adalah kelibat penyanyi tersohor Alicia Keys yang juga pemenang 16 trofi Grammy ketika berduet dengan Usher menyanyikan lagu malar hijau mereka, My Boo.

Bagaimanapun, vokal Alicia ketika menyanyikan lagu tersebut yang dimedleykan dengan dentingan piano lagu If I Ain’t Got You beberapa kali ‘tergelincir’ sekali gus membuatkan ramai mengkritik aksinya di pentas Super Bowl.

Alicia Keys patut minum air lemon sebelum memulakan nyanyian atau persembahan,” itu antara komen ditinggalkan netizen dalam aplikasi X.

Sementara itu, turut berkongsi pentas dengan Usher adalah penghibur tersohor dunia lain termasuklah Lil Jon, Ludacris dan HER.

Super Bowl 2024 atau LVIII dihadiri ramai penghibur berstatus ‘papan atas’ Hollywood termasuklah, Beyonce, Lady Gaga, Lana Del Rey, Blake Lively, Justin Bieber, Ciara dan ramai lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok