KETIKA ramai memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian, lain pula yang disuarakan penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, Cha Eun-woo apabila memilih berkunjung ke kota Kinabalu, Sabah bersama peminatnya.
Jawapan tersebut mengejutkan ramai pengikut yang menggelarkan diri mereka Aroha kerana tidak menyangka bintang utama drama True Beauty itu memilih Kota Kinabalu.
“Saya sangat teringin melawat Kota Kinabalu.
Adakah tempat itu cantik? Anda mahu pergi bersama saya? Jom pergi KK (Kota Kinabalu) dengan saya,” katanya.
Respons tersebut diberikannya apabila diminta memilih lokasi di Malaysia sekiranya berpeluang bercuti bersama Aroha.
Selain mengajak ke Kota Kinabalu bersamanya, Eun-woo memanggil peminatnya dengan panggilan sayang yang sudah semestinya membuatkan 4,000 yang hadir ke konsert Just One 10 Minute Mystery Elevator di Stadium Malawati Shah Alam, malam tadi bermimpi indah.
Menerusi konsert anjuran perkhidmatan penstriman Viu itu, Eun-woo mendekati peminatnya seiring dengan misi acara tersebut iaitu cuba membuatkan penonton jatuh cinta kepadanya dalam tempoh 10 minit.
Pada konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, Eun-woo turut menghiburkan peminat dengan lagu yang dipopularkan kumpulan Backstreet Boys, As Long As you Love Me dan lagu daripada album solo pertamanya, Entity iaitu Stay dan Where Am I. – HIBGLAM