‘Bukan sengaja rahsiakan pernikahan, ada hati yang perlu dijaga’

“SAYA kurang selesa apabila majlis ini (pernikahan) ‘diceroboh’.”

Demikian kata pelakon Shakillah Khoriri yang kesal dengan tindakan segelintir pihak membocorkan berita pernikahannya semalam.

Menurut pemilik nama lengkap Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, 35, itu, dia tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup di Shah Alam, Selangor sebaliknya menunggu masa sesuai untuk berkongsi kepada umum.

“Assalamualaikum kepada semua rakan media yang saya hormati dan cintai.

Saya mohon maaf kepada kalian jika tidak menjawab panggilan atau memberi apa-apa respons berkenaan pernikahan saya.

“Saya sendiri kurang selesa apabila majlis ini ‘diceroboh’ orang luar tanpa meminta izin untuk berkongsi dahulu mengenai pernikahan saya dan suami kepada media sebelum majlis ini berlangsung,” katanya menerusi InstaStory.

Sementara itu, Shakilla yang popular menerusi drama Adam Dan Hawa mengakui memilih merahsiakan hari bahagianya kepada umum untuk menjaga hati kedua belah pihak keluarga.

“Saya akan kongsi, jawab dan bagi kerjasama tetapi beri kami ruang serta masa. Ada hati kecil yang perlu saya jaga dan utamakan apabila melibatkan ahli baru dalam keluarga kami.

Meskipun dia orang yang paling teruja dan gembira tetapi saya ada tanggungjawab untuk menerangkan banyak perkara tentang hal ini kepadanya.

“Dia tetap keutamaan saya dalam apa pun keadaan dan perkara. Amanah Allah kepada saya,” ujarnya.

Semalam, Shakilla akhirnya mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang dikenali sebagai Fariz Zulkepley dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam.

Sebelum ini, pelakon dan model itu pernah bernikah dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 namun bercerai pada Disember 2021.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok