NAMA Silfeny Osman boleh dikatakan masih asing dalam kalangan kaki drama meskipun hadir dengan pakej lengkap sebagai pelakon. Sehingga kini, dia belum bertemu rezeki selayaknya.
Entah di mana silapnya, karier dan bakat pelakon berusia 32 tahun itu seolah-olah dipandang sepi dan tidak menjadi pilihan penerbit mahupun pengarah walaupun sudah hampir enam tahun meneroka dunia lakonan.
Menjual nama selain mempertaruhkan bakat barangkali mudah bagi segelintir selebriti lain mendaki puncak populariti, namun tidak buat Silfeny.
Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak meskipun sering dianggap sekadar tempelan dalam sesebuah naskhah menggalas watak tambahan, pemilik nama penuh Silfeny Mohd. Osman itu tidak lelah apatah lagi berputus asa.
Dia sedar hitam putih kehidupan dan realiti tidak semua diimpikan bakal tercapai namun sebagai pelakon, dia reda selain sedaya upaya memberikan kualiti lakonan terbaik meskipun sekadar disua watak picisan.
“Biarlah orang kata saya hanya wajah penghias yang melengkapi mana-mana naskhah. Saya lihat itu dari sudut pandang positif, mungkin tanpa saya karya itu tidak lengkap dan dalam masa sama kualiti lakonan saya bermutu setara peranan utama.
“Saya hadir dalam industri dengan penuh minat, bukan sekadar jual muka tanpa sebarang kualiti bakat untuk dipertaruhkan. Jadi tidak mengapa dipandang sebagai muka pelakon tambahan asalkan saya sudah beri lakonan terbaik.
“Tiada guna juga wajah saya merata-rata di stesen televisyen tetapi tiada impak lakonan atau hasilnya tidak sampai ke hati penonton, itu saya tidak mahu,” ujarnya kepada HibGlam.
Mengakui tidak muak mengambil tawaran lakonan kendatipun hanya sehari dua melibatkan lima atau 10 adegan, wanita bermata bundar itu percaya perkara tersebut merupakan proses dan pengalaman berharga.
“Saya masih buat kerja lakonan yang hanya sehari dua hari, bagi saya ini segala-gala peranan meninggalkan momen tersendiri.
“Kadang-kadang watak kecil ini yang membantu menaikkan nama saya.
“Kalau saya hanya ada 10 babak, mungkin orang kenal saya melalui babak tersebut sahaja, pokok pangkalnya saya akan tetap komited dengan apa jua watak.
“Saya sedar diri dan ruang. Selagi saya boleh buat karakter tersebut, walaupun sekadar babak lalu lalang, saya tidak kisah, macam saya kata, semua itu proses dan sepak terajang dunia seni hiburan tanah air,” tuturnya merendah diri.
Pada masa sama, anak jati Pulau Pinang itu pelik mengapa ramai orang sekelilingnya beranggapan dirinya terlalu memilih naskhah sekali gus jarang muncul di kaca televisyen.
“Ramai tanya saya adakah saya cerewet menjadi penyebab kurang muncul dalam televisyen, tetapi jujurnya saya memang tidak mendapat banyak tawaran apatah lagi memilih.
“Saya bukan macam pelakon lain ada sahaja tawaran sehingga jadual penuh sepanjang tahun, tetapi tidak mengapa itu rezeki mereka, saya percaya akan ada bahagian saya di tempat lain,” tuturnya yang membintangi filem Banglo Seksyen 12.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.