PENYANYI Baby Shima kesal apabila dikecam segelintir netizen gara-gara menggayakan pakaian tradisional Ngepan Iban yang menjadi kebanggaan suku kaum Iban di Sarawak.
Menerusi video yang dikongsikan Shima dalam TikTok miliknya, pemilik nama lengkap Nor Ashima Ramly itu meluahkan rasa pelik apabila dikecam berikutan menggayakan pakaian Ngepan Iban dalam video muzik single terbaharunya, Bujang Sarawak.
Dalam salah satu komen, seorang netizen menyifatkan perbuatan Shima menggayakan Ngepan Iban sebagai haram kerana memakai pakaian tradisional orang bukan Islam.
“Mahu juga pakai pakaian orang kafir (bukan Islam),” komen seorang netizen.
Enggan berdiam diri, penyanyi berusia 29 tahun itu mempersoalkan mengapa dirinya dipersalahkan hanya kerana menggayakan pakaian tradisional itu.
Buat ‘bengap-bengap’ sekalian, ini adalah pakaian tradisional Iban, Ngepan Iban. Pelik juga tengok komen-komen dalam YouTube Bujang Sarawak. Ada sahaja nak dipersalahkan tentang pakaian dalam lagu ini,” katanya.
Ujar penyanyi yang turut mencipta nama di Indonesia itu lagi, dia menganggap individu yang mengecamnya sebagai kurang cerdik kerana tidak kenal dengan pakaian tradisional.
Fuh! Saya dah jumpa komen yang terpaling suci. Mungkin dia rasa terpaling suci hingga pakaian tradisional kaum Iban pun dia tak kenal.
“Bodoh sangat tahap kebodohan dia. Boleh tengok sendiri komen begitu dalam YouTube. Ingatkan seorang, ada beberapa orang lagi. Entah apa-apa sampai budaya orang pun dia nak kecam. Bodoh sangat,” balas Shima.
Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya terutama dari Sarawak turut kesal apabila penyanyi itu dilemparkan dengan kata-kata tidak baik hanya kerana menggayakan pakaian tradisional kaum Iban.
Malah, ada pengguna TikTok menyarankan supaya Shima berpindah ke Sarawak yang disifatkan kehidupan masyarakat di sana lebih aman dan bertoleransi.
“Bagus Shima pindah ke Sarawak. Jangan duduk seberang (semenanjung). Orang sana semua kurang ilmu,” kata seorang netizen.
Cantik sangat budaya Sarawak. Saya dari Kelantan pun sanggup belajar di sana (Sarawak) kerana suka dengan budaya dan tradisi orang di sana. Tidak lama lagi saya bakal berkahwin dengan pemuda Iban Sarawak,” kata seorang lagi pengguna TikTok.
Pada masa sama, Shima turut menuai pujian masyarakat Sarawak kerana mempromosikan budaya mereka, selain menyanyikan lagu Bujang Sarawak dalam bahasa Iban, seolah-olah dia berasal dari Bumi Kenyalang.
“Saya orang Iban sangat terkejut dengan pembawaan lagu ini. Sangat bagus suara dia,” ujar seorang netizen.
Sebutan Shima sangat lancar. Saya sebagai masyarakat Iban berasa sangat bangga,” kata seorang lagi netizen.
Bujang Sarawak yang dilancarkan pada 2 Februari lalu merupakan lagu yang dicipta oleh komposer dan penulis lirik asal Sarawak, Hairee Francis dengan menggunakan elemen kesenian serta muzik dari negeri tersebut. – HIBGLAM