Bintang Korea Selatan pilih pasangan ‘biasa-biasa’

ENGGANG sama enggang, pipit sama pipit.

Barangkali frasa itu sesuai menggambarkan senario segelintir selebriti memilih untuk membina mahligai bahagia sesama atau ‘sekufu’ mereka sahaja.

Namun hakikat cinta datang dari jiwa serta tidak boleh dipaksa, ada juga segelintir selebriti yang lebih senang menjadikan orang biasa dan bukan selebriti sebagai teman hidup.

Kendatipun, kadangkala tidak semua direstui peminat. Ada yang tetap teguh dengan prinsip untuk tidak merahsiakan hubungan mereka dan ada juga bijak menyembunyikan status hubungan mereka sehinggalah hari perkahwinan tiba.

Kimchi Panas merangkumkan bintang Korea Selatan yang memilih pasangan bukan dalam kalangan selebriti.

Bada

PERKAHWINAN anggota kumpulan S.E.S, Bada dengan lelaki pilihan hatinya telah membuatkan ramai lelaki yang menggilainya berputih mata.

Kecoh ketika itu apabila dia didakwa menolak cinta seorang pelakon kacak terkenal Korea Selatan selain disifatkan menolak tuah.

Enggan perkara tersebut berlarutan menjadi khabar tidak baik, wanita berusia 43 tahun itu tampil memperkenalkan bakal suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan dalam bidang makanan.

Lebih mengejutkan, jejaka yang berjaya menambat hatinya itu dikatakan mempunyai iras wajah pelakon kacak, Park Bo-gum sekali gus menutup mulut jahat netizen yang menyifatkannya wanita rugi.

Menurut sebuah laporan, Bada dan suami yang berusia 10 tahun lebih muda itu sedang bahagia menjalani fasa berumah tangga.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan merpati dua sejoli itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 4 tahun.

Eunji

KETIKA nama dan bakat sedang dijulang dengan kumpulan Nine Muses, Eunji mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan mahu keluar daripada kumpulannya itu kerana mahu berkahwin.

Memilih untuk memekakkan telinga dengan pelbagai dakwaan seperti dirinya sudah mengandung dan sebagainya, Eunji mengambil keputusan untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang bukan selebriti pada 2018.

Mereka telah mengadakan majlis perkahwinan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga terdekat dan kenalan rapat.

Meskipun namanya mulai suram selepas berita perkahwinannya itu, wanita berusia 35 tahun itu mengakui hidupnya kini lebih bahagia dan tenang di samping suami tercinta tanpa perlu memikirkan kehendak peminat fanatik yang ingin menjodohkannya dengan selebriti sahaja.

Paling penting kata Eunji, selebriti tidak semestinya perlu berkahwin dengan artis sahaja untuk bahagia kerana pada hakikatnya, semuanya bergantung pada jodoh ketentuan Tuhan.

Shin Joo-ah

SERING terpalit gosip bercinta dengan ramai pelakon lelaki, keputusan aktres jelita, Shin Joo-ah untuk berkahwin dengan orang biasa dan bukan selebriti mengejutkan ramai peminat.

Tanpa mengetahui latar belakang lelaki pilihan hati Joo-ah, ramai netizen berpendapat aktres secantiknya hanya sesuai dengan selebriti yang terkenal dan mempunyai masa depan.
Ternyata netizen bagai ditampar realiti ketika itu apabila mengetahui bahawa Joo-ah bakal berkahwin dengan ahli perniagaan dan merupakan antara individu terkaya dari Thailand iaitu Sarawut Rachnakul.

Pada awalnya menghentam, peminat wanita berusia 39 tahun itu ternyata diam membisu dan memilih untuk merestui pilihan idola kesayangan mereka selain mendoakan kebahagiaannya.

Menurut sebuah laporan, pasangan sama cantik sama padan itu kini menjalani kehidupan yang sukses dan serba mewah di Thailand.

Chen

SIAPA tidak kenal dengan jejaka tampan, Chen yang pernah mengecapi kemasyhuran dalam tempoh yang singkat, jenama seninya menebar luas baik dalam mahupun luar negara.

Di saat tempo kariernya sedang memuncak, anggota kumpulan EXO itu mengumumkan dirinya bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang wanita yang berjaya menawan hatinya.

Lantas, khabar baik itu meledak dalam media sosial dan rata-rata netizen menebak idola berusia 31 tahun itu bakal berkahwin dengan seorang pelakon popular yang sering digosipkan dengannya ketika itu.

Tidak menafikan mahupun mengiyakan, tekaan netizen ternyata meleset apabila Chen secara tiba-tiba mengumumkan bahawa drinya sudah pun mendirikan rumah tangga dengan orang biasa dan bukan selebriti secara rahsia pada tahun 2020.

Reda dengan khabar mengejut itu demi melihat idola mereka bahagia, netizen sama sekali tidak menghentam malah menitip ucapan istimewa agar ‘oppa’ kesayangan mereka itu terus berkarya meskipun sudah beristeri.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok