Bintang Korea Selatan lulusan ‘seberang laut’

SEBAGAI peminat K-Drama, wajar jika bintang pujaan dikagumi kerana memiliki daya tarikan, visual dan kemahiran lakonan yang luar biasa.

Namun, selain bakat, ramai yang masih tidak tahu bahawa selebriti Korea sememangnya bijak-bijak belaka.

Ada yang mahir lebih daripada satu bahasa dan ada juga lulusan universiti luar negara.

Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa bintang ternama yang pernah melanjutkan pelajaran di luar Korea Selatan.

  • Jung Eun-chae

PERNAH memegang watak sebagai Perdana Menteri dalam drama The King: Eternal Monarch, pelakon Jung Eun-chae sebelum ini menetap di London.

Difahamkan, dia sudah menetap di sana selama lapan tahun dan meneruskan pendidikan dalam jurusan reka bentuk tekstil di sebuah pusat pendidikan, Central Saint Martins.

Disebabkan tinggal di United Kingdom dalam jangka masa lama, dia memiliki kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, pelakon dan model itu juga sangat lazim dengan budaya orang Eropah dan mesra bijak bersosial.

  • Seo Ye-ji

SEBELUM debut dalam industri hiburan, aktres Seo Ye-ji meninggalkan Korea untuk mempelajari bahasa Sepanyol.

Dia turut memujuk ibu bapanya untuk membenarkannya mengembara sendirian di Sepanyol selama tiga tahun.

Selepas mendapat keizinan, pelakon It’s Okay To Not Be Okay itu meneruskan pengajian dalam jurusan pembedahan ortodontik.

Pelakon berusia 34 tahun itu juga fasih berbahasa Sepanyol dan kebolehan itu dapat dilihat dalam lakonannya.

  • Jung Ryeo-won

SAMA seperti keluarga selebriti lain, pelakon Jung Ryeo-won turut mengikuti ibu bapanya berhijrah ke Brisbane, Australia.

Dia fasih berbahasa Inggeris dan bijak menyesuaikan diri dengan cara hidup orang Australia.

Semasa melanjutkan pelajaran di peringkat universiti, pelakon drama Wok Of Love itu mengambil jurusan perniagaan antarabangsa di Universiti Griffith.

Dia kembali ke Korea selepas ditawarkan sebagai pelajar pertukaran dan memulakan karier nyanyiannya.

  • Park Min-young

KETIKA berusia 14 tahun, pelakon Park Min-young mengikuti kakaknya ke Pennsylvania, Amerika Syarikat dan belajar di sana hampir tiga tahun.

Sudah terang lagi bersuluh, kelebihan itu membolehkan dirinya fasih berbahasa Inggeris dalam drama What’s Wrong With Secretary Kim.

Selepas tiga tahun, dia kembali ke Korea untuk membuat persiapan peperiksaan kemasukan kolej yang juga ujian paling penting di negaranya.

  • Choi Woo-shik

BIARPUN dilahirkan di Korea Selatan, keluarga pelakon Choi Woo-shik mengambil keputusan untuk berpindah ke Kanada.

Ketika itu, dia berada di sekolah rendah dan menetap di sana selama 10 tahun.

Selepas itu, Woo-shik meneruskan pembelajaran di peringkat menengah di Pinetree Secondary School.

Pada 2010, pelakon filem Parasite itu melanjutkan pelajaran di Universiti Simon Fraser sebelum bergelar pelakon.

Dengan restu ibu bapa, aktor berusia 34 tahun itu mengikuti uji bakat lakonan di Korea sehingga berjaya membuat penampilan sulung dan diterima dengan baik peminat seluruh dunia.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok