Bintang K-pop bergelut masalah mental

MASALAH mental bukan lagi perkara tabu dalam kalangan masyarakat seluruh dunia, bahkan ada yang terbuka berkongsi perjuangan melawan penyakit tersebut.

Biarpun mengenakan solekan berkilau, pakaian cantik dan mewah, persembahan mengagumkan sebenarnya ramai selebriti menyembunyikan 1001 masalah, termasuk tekanan bagi memberikan terbaik di mata peminat.

Selalunya peminat memuja bintang K-pop dan memandang tinggi kegemilangan seseorang artis tanpa mengambil tahu setiap permasalahan yang berlaku.

Kali ini, Daebak menyajikan beberapa bintang K-pop popular tetapi sebenarnya berlawan dengan diri sendiri.

Dengan kecekalan, mereka juga berusaha merawat diri seperti orang lain yang berdepan penyakit.

Suga BTS

 

ANTARA individu paling lantang dalam industri muzik K-pop yang menyokong perjuangan kesihatan mental ialah penyanyi Suga yang juga ahli kumpulan BTS.

Dia sering bercakap mengenai situasi dilalui iaitu kemurungan, kebimbangan sosial dan gangguan obsesif kompulsif atau obsessive compulsive disorder (OCD).

Pendedahan mengenai masalah mentalnya bermula pada 2016 ketika dia melancarkan Agust D iaitu mixtape pertamanya yang menceritakan tentang semua jangkaan masyarakat terhadap pesakit sepertinya.

RM BTS

SELAIN Suga, ahli lain seperti RM juga tidak terlepas untuk bercakap mengenai masalah sensitif seperti penyakit mental secara terbuka.

Semasa meraikan ulang tahun ke 27, peminat bertanya mengenai keadaan pemilik nama Kim Nam-joon itu.

Tanpa mahu menyembunyikan perasaannya, RM mendedahkan masalah mental dihadapinya.

“Setiap hari adalah perjuangan untuk tidak kalah dengan kemurungan dan tidak menyerah,” katanya.

Respons penyanyi berusia 29 tahun itu sekali gus menggembirakan peminat kerana dia sanggup berkongsi tanpa memendamkan perasaan seorang diri.

Disebabkan itu, mereka banyak meluangkan masa untuk aktiviti seperti membersihkan biliknya, bersenam dan menyiram tanaman semata-mata untuk menyokong kesihatan fizikal dan mentalnya.

Bae Suzy

 

BARU berusia 15 tahun, penyanyi Bae Suzy sudah menjadi perhatian umum semasa melakukan penampilan pertama bersama kumpulan Miss A pada 2010.

Setelah itu, dia melompat ke bidang lakonan sehingga lebih dikenali sebagai pelakon, namun tetapi pada masa sama bergelut tekanan perasaan.

Dia berjuang dengan kemurungan semasa tahun awal membina karier kerana harus bergelut antara aktiviti bersama Miss A dan projek lakonan.

Pemilik nama asal Bae Su-ji itu juga terbuka mendedahkan perjuangan mental yang dihadapinya dalam sebuah program televisyen.

Dia kini lebih baik dan turut melancarkan lagu bahasa Inggeris berjudul Cape membawa kesedaran mengatasi masalah kesihatan mental.

Kang Daniel

TIDAK pernah berselindung, penyanyi Kang Daniel terbuka berkongsi perjuangannya melawan penyakit mental.

Bukan sahaja bersuara, dia turut mengeluarkan album Yellow yang keseluruhannya menceritakan penderitaan masalah mental.

Lagu-lagu seperti Paranoia dan Antidote merujuk kepada dirinya yang berehat selama tiga bulan pada November 2019 untuk memberi tumpuan terhadap kesejahteraan mentalnya selepas mengalami kemurungan dan gangguan panik.

Dengan rehat yang cukup telah membantu dirinya untuk kembali ke dalam industri dengan lebih kuat dan baik.

Jeongyeon Twice

Pada Ogos 2021, JYP Entertainment mengejutkan peminat apabila mengumumkan penyanyi Jeongyeon perlu berehat akibat kebimbangan psikologi dan gangguan panik.

Penyanyi kumpulan Twice itu bagaimanapun muncul semasa Anugerah Muzik Seoul ke-30 pada 2022 tetapi masih mengutamakan kesihatan mentalnya.

Jeongyeon turut membuat perkongsian bercerita tentang masalah yang dihadapinya dalam media sosial, terutama kepada peminat yang bimbang keadaan dirinya.

Dia masih dalam keadaan waras akan kembali selepas ini dengan lebih sihat seperti sediakala. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok