Big Fish bukan arus selesa Zamaera, Daaliah

BARU selesai penganjuran Queendom Fest, sebuah festival muzik ‘all-female’ pertama seumpamanya di Malaysia di ibu negara, penyanyi rap juga penulis lagu berbakat besar, Zamaera hadir dengan single terbaharunya, Big Fish nukilan sendiri bersama penerbit muzik dan DJ, Daaliah.

Pertemuan tidak disangka bersama Daaliah telah menghasilkan sebuah single yang sungguh bermakna sebagai permulaan 2024 buat Zamaera.

“Saya rasa seperti seekor ikan yang besar dalam kolam yang kecil,” jelas pemilik nama sebenar, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, itu.

Sejurus kepulangan Daaliah usai siri jelajah muzik di Eropah, Zamaera bertemu dengannya lalu berkongsi perasaan sebagai anak seni di Malaysia yang sudah pun mencapai peringkat tertentu.

“Sebenarnya agak sukar bagi saya sebagai seorang pengkarya untuk tampil dengan diri yang asli, menampakkan jiwa saya yang sebenar kerana norma di sini yang agak konservatif.

“Saya seorang yang berfikiran terbuka, berani dan tidak mudah gentar jadi saya percaya saya akan lebih berkembang dalam kerjaya jika keluar dari zon selesa iaitu negara tersendiri dan lagu ini merupakan pengenalan buat saya sebagai artis ‘independent’ yang berusaha keluar dari ruang selesa tersebut,” tambah penyanyi berusia 28 tahun itu.

Cabaran

Kongsi Daaliah pula, pembikinan single berkenaan juga kaya pengalaman berharga.

“Zamaera dan saya mempunyai persamaan di mana kami berdua adalah pengkarya ‘independent’, segala aspek dari penghasilan lagu ke rakaman muzik video dan pemasaran muzik kesemuanya dilakukan penuh teliti.

Biarpun berdepan cabaran, kami berjaya mengharunginya bersama-sama dan juga bekerja mengikut jadual.

“Karya ini diilhamkan daripada sub-genre muzik electronic house, yang terkenal pada awal 1990-an dari UK (United Kingdom) dikenali sebagai Garage atau singkatannya UKG.

“Beberapa artis terkenal yang membuat muzik Garage termasuklah, Craig David, Jorja Smith dan Wiley untuk menamakan beberapa,” katanya.

Sementara itu, pelantun lagu Kill My Vibe dan Dulu itu sebenarnya lebih sibuk berbanding sebelum ini.

“Tahun lepas saya lebih fokus menjayakan festival muzik wanita Queendom Fest bekerjasama dengan Tong Tong Asia dan Jln Hackman banyak membuka mata dan juga peluang, saya bersyukur menjadi penerima Dana Kandungan Digital melalui My Creative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi & Digital.

“Menganjurkan sebuah acara dengan 10 orang artis wanita bukanlah sesuatu yang mudah tetapi perjalanan tersebut mengajar saya keluar dari ‘zon selesa’ yang saling berkaitan dengan Big Fish.

“Single Big Fish turut dipersembahkan ketika acara walaupun terlebih dahulu diperdengarkan pada Asean Festival di

Singapura dan sambutannya amatlah memberangsangkan, ramai yang sukakannya dan saya tidak sabar untuk lagu ini dilancarkan secara rasmi,” katanya.

Berkarier sebagai artis bebas yang tidak terikat mana-mana label juga satu cabaran buat Zamaera, terutama membentuk sebuah pasukan hebat.

“Buat masa sekarang, saya hanya bekerja dengan para profesional berdasarkan sesebuah projek, tapi tidak berpanjangan. Saya seorang yang sangat mudah menyesuaikan diri tetapi apabila berkaitan dengan pasukan. Saya perlu sangat yakin dengan siapa saya mengamanahkan kerja saya. Walaupun prosesnya mungkin lebih lama, semuanya berbaloi.”

“Apa yang lebih menarik ialah kerjasama jenama dengan Vuse Street Covers, platform antarabangsa yang menonjolkan artis tempatan seperti saya dalam usaha memecah sempadan.

“Pelancaran muzik video premium Big Fish rasmi yang disampaikan VSC akan berlangsung pada 24 Februari di lokasi rahsia dan menampilkan enam artis tempatan,” ujar Zamaera.

Ditanya apa yang dijangkakan daripada Zamaera dalam tahun 2024, jawabnya dengan teruja: “Saya bakal bekerjasama dengan sebuah label bertaraf antarabangsa, menghasilkan sebuah album penuh, siri jelajah dunia dan juga Queendom Fest 2.0!

“Bersedia untuk muzik baharu dan era baharu Zamaera.”

Bagi Daaliah pula, sudah tentu dia mahukan lebih banyak material dan rancangan baharu di lokasi baharu yang belum pernah dikunjungi sebelum ini.

Big Fish kini tersedia untuk penstriman di semua platform penstriman digital seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, YouTube Music dan lain-lain dan tersedia untuk dimuat turun di iTunes.

Muzik video Big Fish juga boleh ditonton secara eksklusif hanya menerusi saluran YouTube Zamaera. – HIBGLAM

caption

BERGERAK atas jalur dan milikan muzik sendiri, Zamaera kini bersama-sama Daaliah mengukuhkan profil karier mereka dengan naskhah Big Fish.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok