JARANG berkongsi gambar dengan suami dalam media sosial sehingga muncul dakwaan kononnya sedang berdepan krisis rumah tangga, pelakon Datin Elvina Mohamad bertegas semua tindakan tersebut ada sebab kukuh.
Katanya, dia hanya mahukan privasi sekali gus menolak tuduhan tidak berasas pihak yang tidak tahu hujung pangkal.
Tegas Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 29, dia enggan terlampau menonjolkan kebahagiaan secara umum kerana menyedari bukan semua orang senang melihat kegembiraan orang selain ingin mengelakkan perkara tidak diingini.
“Saya sekarang kurang gemar untuk berkongsi tentang suami dan anak-anak saya dalam media sosial, biarlah kemanisan itu kami sendiri sahaja yang tahu. Tidak semua orang suka tengok kebahagiaan kita.
“Instagram sekarang saya fokuskan kepada kerja. Kalau dulu memang betul sangat teruja untuk berkongsi dengan peminat tetapi apabila usia kita pun makin meningkat, privasi itu sangat penting, tidak semua perlu dipertontonkan kepada khalayak.
“Sekarang pulak macam-macam kes jadi dan saya hairan ramai ingat saya ‘single’, tak tahulah mereka tahu atau buat-buat tak tahu. Tidak mengapa, asalkan saya, suami dan anak-anak gembira, itu sudah memadai,” ujarnya kepada HibGlam.
Disoal alasan jarang membawa suami, Datuk Mohd Haniff Borhan, dalam mana-mana acara hiburan, ibu kepada dua cahaya mata itu memberitahu suaminya kurang gemar mengikut disebabkan berasa kekok memandangkan dia bukan daripada arena hiburan.
“Bidang saya dan suami sangat berbeza, jadi dia kurang menyertai saya ke mana-mana majlis tetapi dia sangat ‘supportive’, dia akan sokong perihal yang melibatkan kerjaya saya.
“Saya pun kasihan dekat dia kalau ikut, takkan nak melopong sahaja kan, macam saya tidak mengapalah ada rakan-rakan artis yang boleh berborak.
“Jadi biarlah dia selesa dengan bidangnya sahaja dan begitulah sebaliknya, dia sokong dari jauh, bahkan suka tengok saya berlakon sebab dia tahu ini minat saya,” jelasnya pada malam gala filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, kelmarin.
Elvina dan Haniff, 38, yang mendirikan mahligai cinta pada 18 Mac 2018 dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Karl Mateen, 5 dan Ean Maleeq, 11 bulan. – HIBGLAM