ENGGAN lagi menipu diri sendiri, keluarga dan masyarakat, usahawan yang dikenali sebagai Datuk Seri Khazrul Elzey mendedahkan penyatuan semula ikatan pertunangan dengan pelakon sensasi, Zarina Anjoulie selama ini hanyalah satu kepalsuan, rekaan atau gimik yang dirancang wanita itu.
Khazrul, 46, ketika dihubungi HibGlam berkata, dia bersetuju untuk menuruti permintaan Zarina, selepas dipujuk wanita itu untuk membantunya melonjakkan kembali nama selain mengakui masih menyimpan perasaan sayang terhadap pelakon Anak Pontianak itu.
“Begini ceritanya, tentang pertunangan itu, semuanya hanyalah satu rancangan Anju (panggilan Zarina) untuk melonjakkan semula namanya.
Sebenarnya selepas enam bulan kami putus tunang iaitu sekitar Ogos tahun lalu, Anju kembali memujuk saya untuk membantunya. Jadi saya bersetuju sebab masih sayangkan dia,” katanya.
Ujar lelaki itu lagi, lama-kelamaan timbul rasa bersalah dalam dirinya atas pembohongan yang dirancang kerana membabitkan ramai pihak termasuk keluarga dan masyarakat, terutama selepas pulang dari Tanah Suci dan mendekatkan diri dengan agama.
“Apabila saya pulang daripada mengerjakan haji dan mula mendekatkan diri dengan agama, timbul rasa berdosa dalam diri. Sebab selama ini saya telah menipu ramai orang termasuk keluarga.
“Kalau boleh hentikan awal, sebab itu saya berani untuk dedahkan perkara sebenar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khazrul berkata dia terbuka untuk menjadikan Anju sebagai isterinya, namun terdapat halangan apabila hubungan mereka tidak mendapat restu daripada ibu wanita itu sendiri.
Anju ada cakap bahawa dia masih sayangkan saya dan mahu kami kembali bersama. Saya okey dan terbuka untuk menerimanya.
“Namun yang menjadi penghalang hubungan kami, ibunya tidak boleh menerima saya disebabkan isu pergaduhan kami sebelum ini sehingga putus tunang.
“Jadi ibu dia tidak boleh maafkan saya. Hubungan kami tidak mendapat restu orang tua,” kata Khazrul.
Dakwanya lagi, dia mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara sebenar, tanpa pengetahuan pelakon itu.
Saya dedahkan perkara ini di luar pengetahuan Anju. Saya tidak berhubung dengannya. Saya pun tidak tahu sama ada dia marah kepada saya atau tidak,” katanya.
Selepas mendedahkan pembohongan yang dirancang itu, Khazrul mengakui hatinya lega dan menganggap dirinya sudah terlepas daripada terus melakukan dosa.
“Lepas saya dedahkan, sudah tentu saya lega sebab sudah terlepas daripada melakukan dosa. Sebab saya bukan sahaja berbohong pada diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat.
“Sampai bila saya nak berbohong dan berbuat dosa? Lebih baik saya hentikan,” katanya.
Pada masa sama, Khazrul turut memberitahu tindakan Anju mencetuskan kontroversi turut memberi kesan buruk kepada kerjayanya sebagai usahawan.
“Impaknya sangat buruk terhadap bidang kerja saya. Contohnya, tentang isu Anju dengan seorang pelakon (Fatiya Latiff). Macam-macam perkara didedahkan sehingga mendapat perhatian media.
“Sehingga bos saya sendiri pun tahu dan bertanyakan tentang hal tersebut kepada saya untuk tahu apa yang berlaku,” jelasnya.
Terdahulu, Anju dan Khazrul melangsungkan pertunangan pada 26 Januari tahun lalu, namun hubungan mereka berakhir sebulan kemudian.
Putus di tengah jalan, Khazrul pernah mendedahkan dirinya bukan lelaki terbaik buat Anju dan mereka juga saling berbalas kenyataan dalam media sosial tentang masalah yang berlaku sebelum ini.
Pada Ogos tahun lalu mereka dilihat kembali berbaik dan malah mengakui saling merindu. – HIBGLAM