Belajar jangan main-main, nanti menyesal – Hazama

Kepada adik-adik yang bersekolah, jangan main-main, rugi. Nanti bila umur 40 tahun akan pandang balik, rasa menyesal.”

Demikian pesanan penyanyi Hazama kepada remaja yang masih bersekolah agar tidak mensia-siakan peluang menggali ilmu sebanyak mungkin.

Hazama atau nama lengkapnya Hazama Ahmad Azmi, 40, mengakui menyesal tidak mendalami al-Quran dah tidak fokus dalam pelajaran ketika di bangku sekolah.

Kalaulah dari kecil dulu saya betul-betul belajar al-Quran, semua jawapan dan solusi ada dalam naskhah itu.

“Kenapa masa remaja, tengah membesar saya buat benda entah apa-apa. Tetapi semua sudah tertulis.

“Kalau latih diri dari dulu, mungkin saya akan lebih ‘solid’ (berilmu). Ini umur 30 lebih baru nak mulakan, bila akan solid,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Dalam masa sama, pelantun lagu Di Amaran Mama itu turut berasa kesal kerana tidak menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar dahulu walhal ilmu itu boleh menjamin masa depan yang lebih cerah.

Satu lagi, kadang-kadang terfikir zaman sekolah kita bukan bodoh cuma tidak fokus. Pentingkan perkara lain dan suka bermain-main.

“Sekarang, bila kita belajar akan tahu dan boleh sahaja faham semua. Kenapalah kepala sekarang tidak sama macam zaman sekolah,” ujarnya.

Pelakon filem Syerif itu tidak ketinggalan menitipkan peringatan kepada anak sekolah agar terus berjuang mengejar ilmu.

Tolong jangan sia-siakan zaman sekolah sebab perkara ini berlaku sekali sahaja. Kalau terlepas memang tidak boleh patah balik,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok