Bahasa Inggeris diejek, Puteri Balqis padam 300 komen netizen

PELAKON Puteri Balqis terpaksa menyekat dan memadam lebih 300 komen negatif netizen yang menghina penguasaan bahasa Inggerisnya.

Kata Balqis yang lebih mesra disapa Aqish, tindakan tersebut dilakukan kerana menganggap media sosial adalah platform bebas untuk bersuara tanpa gangguan pihak luar.

Setiap hari saya akan padam lebih dari 300 komen terutama sekali yang menghina pendidikan saya.

“Disebabkan itu tidak nampak sebarang komen negatif dalam media sosial saya kerana saya padam atau sekat.

Saya anggap laman sosial saya kampung dan diari. Di situ memang tempat selamat bagi saya, jadi tidak mungkin saya akan biarkan mereka berkampung dalam laman sosial saya,” katanya menerusi video dalam aplikasi TikTok.

Sementara itu, pemilik nama lengkap Puteri Balqis Azizi, 17, turut memaklumkan sebilangan kaki kecam turut mengejeknya apabila bertutur dalam bahasa Inggeris

Dia berpendapat, semua orang perlu mempelajari bahasa lain yang menjadi sebahagian daripada cabang pengetahuan untuk digunakan pada masa depan.

Sebagai contoh apabila saya bertutur dalam bahasa Inggeris kerana sudah terbiasa dan orang mengejek, saya akan terus sekat.

“Saya dapat komen seperti ‘pengemis’, ‘budak flat’, ‘muka sampah’ ataupun budak kampung yang tidak perlu acah cakap Inggeris. Belajar bahasa lain juga penting sebagai ilmu pengetahuan.

Orang putih pun pandai cakap Melayu kerana mereka mahu belajar bahasa kita. Jadi, apa salahnya kita belajar bahasa lain? Tak semestinya belajar bahasa kedua kita lebih agungkan negara mereka,” ujarnya.

Ini bukan kali pertama Aqish dikritik atau dikecam kerana sebelum ini, dia pernah terpalit dengan dakwaan menyombong.

Namun, pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia 2014 itu mendedahkan dia mempunyai masalah bersosial yang mengakibatkannya bersikap dingin ketika berhadapan orang ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok