Bahana watak jahat, Kodi Rasheed dibenci netizen

GARA-GARA sering melakonkan watak antagonis dalam drama, pelakon Kodi Rasheed mendedahkan dirinya dibenci netizen sehingga ada yang tergamak melemparkan kata-kata nista.

Kodi atau nama sebenarnya Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed ketika ditemui HibGlam berkata, senario itu berlaku disebabkan dia sering melakonkan watak gelap sejak 10 tahun lalu.

“Sepanjang10 tahun berada dalam industri, saya kerap membawakan watak antagonis sehingga beri kesan pada saya.

Ada yang mengirim mesej dalam Instagram (DM) emoji khinzir dan macam-macam lagi. Perkara itu menunjukkan betapa penonton benci dengan karakter jahat yang saya lakonkan.

“Saya juga sering dimaki netizen. Kalau saya balas, nampak tidak profesional pula. Jadi, saya anggap penonton marah sebab lakonan saya menjadi hingga meninggalkan kesan di hati mereka,” katanya.

Kongsi pelakon berusia 34 tahun itu lagi, pernah berlaku seorang peniaga sayur di pasar melabelnya sebagai lelaki jahat.

Pernah suatu hari saya pergi ke pasar untuk membeli sayur. Kemudian ada seorang mak cik memandang saya dan tiba-tiba menjerit kata saya jahat.

“Bahkan mak cik itu juga menghasut peniaga lain dengan mengatakan saya lelaki jahat. Rupa-rupanya mak cik itu terkesan dengan karakter antagonis yang saya bawakan dalam sebuah drama,” ujarnya.

Enggan terus terikat dengan watak klise, Kodi berkata dia akan lebih selektif pada masa akan datang.

Meskipun berasa berat terpaksa menolak tawaran yang hadir, itu perlu dilakukannya jika mahu jadi versatile selain percaya dengan rezeki yang telah diatur Allah SWT.

Bimbang jika asyik bawa watak jahat yang lebih kurang sama, karier saya akan jadi statik. Sekarang, saya kena lebih selektif agar tidak bawa watak serupa atau hampir sama.

“Sayang memanglah sayang kalau tolak tawaran yang hadir tetapi saya percaya dengan rezeki Allah SWT,” katanya.

Kodi yang ditemui pada majlis tayangan episod ke-12 drama Menanti Senja, di ibu kota berkata, dia kini lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti agar tidak timbul rasa bosan di mata penonton dan juga dirinya.

Saya mahu menjaga kualiti berbanding kuantiti. Tapi saya belum tepu lagi untuk bawakan watak jahat.

“Banyak lagi watak antagonis lain yang belum pernah saya bawakan. Saya harap selepas ini kalau dapat watak jahat, tidaklah jahat sepanjang masa. Ada ketikanya tampak sisi baik juga. Maksud saya watak jahat itu biarlah realistik,” katanya. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok