PELAKON Azhan Rani teruja untuk berlepas ke Nepal pada Ahad nanti untuk memulakan misi pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan Everest Base Camp (EBC) di sana.
Azhan, 48, berkata, dia bersama pasukannya telah bersedia untuk menawan puncak gunung Island Peak setinggi 6,160 meter (m) dari aras laut, walaupun mengakui berdebar untuk memulakan misi pendakian tersebut.
Selepas lebih setahun merancang dan membuat persediaan rapi, kini kami telah memasuki sesi latihan insentif terakhir sebelum berlepas ke Nepal.
“Latihan yang dibuat adalah melibatkan kardio dan ketahanan fizikal, serta sesi suai kenal bersama pendaki lain yang akan turut serta ke Island Peak dan EBC.
“Saya sangat teruja kerana pendakian kali ini bukan misi secara peribadi, tetapi merupakan sebuah misi amal bagi mengutip dana untuk disalurkan ke tabung Ahsana,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang bakal muncul dalam telemovie Khunsa pada Ramadan nanti itu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak yang telah sama-sama memberikan sumbangan untuk menjayakan misi pendakian tersebut.
“Saya dan seluruh pasukan berterima kasih kepada badan dan individu yang sama-sama telah menyumbang bagi menjayakan misi kali ini,” katanya selepas sesi latihan intensif fasa akhir di Hillrock Resort, Hulu Tamu, baru-baru ini.
Program Pendakian Amal SAR Ahsana ke Island Peak dan EBC Bersama Azhan Rani 2024 di Banjaran Himalaya, Nepal akan bermula Ahad ini (25 Februari) sehingga 13 Mac depan.
Majlis ‘flag off’ program tersebut akan dilakukan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad ini. – HIBGLAM