PERANGAI gila-gila, periang dan kelakar memang sudah sinonim dengan perwatakan wanita berdarah kacukan Malaysia-Afrika itu.
Setiap butir perkataan yang meluncur keluar dari bibirnya, pasti akan terselit unsur lelucon, sehingga membuatkan sesiapa sahaja yang berbual dengannya tidak kering gusi.
Kata pelakon dan pempengaruh, Aya Amiruddin itu, sifatnya yang lucu itulah yang membuatkan orang ramai senang untuk berdampingan dengannya.
Aya bahkan senang dan bahagia apabila melihat orang lain terhibur dengan sifat dirinya yang riang dan kelakar itu.
Saya memang suka hiburkan orang. Buat orang lain ketawa merupakan kebahagiaan saya,” katanya sambil ketawa besar.
Aya atau nama sebenarnya Fidya Natasha Amiruddin, 27, juga dikenali sebagai sahabat rapat kepada pelakon, Norreen Iman, yang juga berperangai tidak jauh beza dengannya.
Pun begitu, sejak awal Februari lalu, Norreen dilihat sudah pun kembali kepada fitrah sebagai seorang wanita Muslim apabila mengambil keputusan untuk berhijab dan menutup aurat.
Sebagai rakan, Aya tentunya gembira dengan keputusan yang dibuat Norreen itu, malah dia turut selalu berdoa agar wanita itu sentiasa istiqamah untuk terus menutup aurat.
Sebagai sahabat kepada Norreen, saya selalu berdoa agar dia sentiasa istiqamah untuk terus melakukan perkara-perkara baik.
“Hidayahnya sudah sampai untuk berhijab dan menutup aurat. Kalau dia rasa sudah bersedia, saya selalu doakan yang terbaik dan akan sentiasa berada di belakangnya,” ujar Aya.
Tambah pelakon berkulit gelap itu lagi, sebagai manusia, tipu kalau dirinya juga terdetik (untuk menutup aurat), apabila melihat wanita lain kelihatan cantik apabila berhijab.
Tipulah kalau tidak terdetik untuk menutup aurat apabila melihat wanita lain berhijab.
“Nampak cantik. Tapi mungkin hidayah Norreen telah sampai dahulu.
“Jadi kalau dia sudah bersedia, kenapa tidak? Perkara-perkara baik saya sentiasa akan sokong,” kata pelakon drama Budak Hostel Otaknya Sewel itu.
Kata Aya, sebelum Norreen tampil dengan imej baharu, pelakon drama Cina Buta itu pernah meluahkan rasa hati dengan keinginannya untuk menutup aurat apabila merasakan sudah tiba masanya untuk dia berbuat begitu.
Memang sebelum ini Norreen pernah meluahkan rasa isi hati apabila memberitahu mungkin sudah tiba masanya untuk dia menutup aurat.
“Lagi pula, dia sudah pun memiliki dua orang cahaya mata. Bila tengok wanita lain bertudung, dia rasa wanita itu sangat cantik,” katanya yang tetap akan menjalinkan hubungan baik dengan sahabatnya itu, walaupun dengan imej berbeza.
“Norreen masih lagi Norreen yang ‘gila’ dan menceriakan ramai orang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aya turut melahirkan rasa teruja apabila bakal tampil dengan sebuah filem dengan memegang watak utama iaitu Pontianak 200KG.
Biarpun penampilan dan fizikalnya berbeza dengan pelakon lain, Aya tetap gembira dan bersyukur apabila diterima baik dalam industri disebabkan keunikan yang dimilikinya itu.
Bahkan, Aya tidak melihat bentuk tubuhnya yang besar, selain berkulit gelap itu sebagai satu masalah yang menyekat peluangnya menceburi industri seni tanah air.
Alhamdulillah. Saya tidak pernah dilayan buruk, malah kehadiran saya disambut baik oleh semua orang dalam industri.
“Mungkin disebabkan keunikan saya yang tidak ada daripada pelakon lain. Dengan fizikal dan kulit saya begini (gelap), berwajah kacukan Afrika-Malaysia menjadikan saya unik,” katanya. – HIBGLAM