Awas! Jangan sampai saya buat laporan polis – Elly Arifin

RIMAS sering diganggu, pengacara dan pelakon Elly Arifin memberi amaran kepada individu biadab agar menghentikan perbuatan jijik mengirimkan gambar alat sulit atau berdepan tindakan undang-undang.

Kata pemilik nama sebenar Nurul Elyana Kamalul Arifin, 34, itu, status janda yang digalas bukan lesen untuk lelaki miang menjadikannya sebagai mangsa fantasi mereka atau objek simbol seks.

Ada saja komen jijik saya terima setiap kali berkongsi gambar walaupun foto itu biasa-biasa saja. Malah, ada yang lebih berani kirim gambar alat sulit dan meluahkan imaginasi melakukan hubungan terlarang dengan saya.

“Bukan saja kerana status saya, namun sejak dulu lagi saya sudah menerima hantaran sebegini dan awas, jangan sampai saya buat laporan polis,” katanya.

Menurut pelakon Anak Perjanjian Syaitan 2 itu, jangan disebabkan dia pernah kecundang dalam perkahwinan membuatkan pelaku merasakan dirinya kesunyian sehingga sanggup menggadai maruah.

“Jangan hanya kerana pernah kahwin dan bercerai saya dianggap senang untuk didekati, apatah lagi melakukan perbuatan tidak bermoral.

Cukup-cukuplah mengganggu kerana buat masa ini saya hanya mahu tumpukan perhatian terhadap kerjaya seni, keluarga dan juga diri sendiri

“Saya belum terfikir untuk cari pengganti semata-mata ingin mengelakkan diri daripada menerima mesej lucah,” ujarnya lagi.

Berkongsi mengenai kerjaya, Elly baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Malang Si Puteri terbitan Radius One yang bakal ditayangkan pada Ramadan nanti bermula 11 Mac depan.

“Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran drama Menantu Dari Amsterdam untuk saluran RTM serta beberapa lagi naskhah,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok