‘Arwah bapa yang jadikan saya Liza Hanim’

SARAT nostalgia. Itu istilah tepat bagi menggambarkan persembahan ikonik Liza Hanim dalam konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang menghimpunkan penonton pelbagai lapisan usia, terutama audiens yang seiring era kegemilangannya.

Gelanggang Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi persembahan cemerlang konsert sulung Liza yang disambut gema suara pemujanya sebaik sang penyanyi membuka langkah menguasai pentas melunaskan impian lama terpendam.

SEBAK menahan rasa, Liza berharap konsert sulungnya tidak menjadi pentas terakhir. Dia mahu menjayakan lebih banyak konsert selepas ini.

Tempoh hampir tiga dekad berkarya dalam arena muzik tanah air sememangnya mematangkan membuatkan figura bersuara gemersik itu untuk berada dalam liga muzik tersendiri, bahkan sukar ditandingi kebanyakan penyanyi muda kini.

Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan susuk Haliza Hanim Abd. Halim disambut jeritan lebih 1,000 peminat, barangkali sudah sekian lama menantikan malam bersejarah itu berlangsung di depan mata.

Tampil sederhana, Liza hanya bertukar dua persalinan sepanjang konsert, namun busana rona merah dan hijau sentuhan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini menyerlahkan gaya elegannya.

Konsert berdurasi tiga jam itu cukup meriah malah tidak sedikit pun terbit rasa mengantuk atau berharap persembahan segera selesai.

Sorakan penonton bergema seawal penampilan menaikkan energi konsert.

Malar segar

Bertemakan perjalanan karier seni seorang Liza Hanim, konsert berkenaan menyaksikan penyanyi tinggi lampai itu mempamerkan kehandalannya melantunkan deretan lagu dalam pelbagai genre, termasuk balada berat, pop dan lagu Inggeris.

Umpama membawa khalayak ke terowong masa, penyanyi berusia 44 tahun itu menyampaikan dendangan malar segar termasuk daripada album popularnya, Puteri Jelmaan.

Seperti tidak pernah terusik dek zaman, kelunakan lenggok vokal Liza tetap berbisa seperti awal kemunculannya sekitar lebih 25 tahun lalu.

Antara repertoire persembahan adalah Imaginasimu (Hey Liza!), Dunia Cinta, Getaran Cinta Di Jiwa diikuti seleksi hitsnya yang pernah mencipta fenomena sendiri seperti Cintailah Aku Sepenuh Jiwa, Lepas Biar Bersebab, Bahtera Cintamu dan Izinkan Ku Berlalu.

Pemenang Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) itu melantunkan 34 dendangan termasuk seleksi daripada album sendiri dan beberapa lagu ‘cover’ penyanyi lain.

Diiringi barisan pemuzik handal, Leman Band bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Chaan, Liza meneruskan kehangatan konsert dengan alunan melankolik seperti Kata Hati, I Love You, Ku Idamkan Rindu dan Biarkan Aku Merinduimu.

Tidak memberi penonton berehat walau sejenak, Liza berjaya membuat audiens tidak senang duduk dek mahu bangun melambai tangan menikmati alunan galau mereka menerusi dendangan Sepanjang Ku Menyintaimu, Kerana Terlalu Menyintaimu dan Puteri Jelmaan.

Segmen khas

Meneruskan energi konsert di skala kemuncak, malam gemilang itu diteruskan dengan segmen yang didekasikan khas buat lagenda tersohor tanah air, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Liza berjaya membuat sekian ramai penonton mengalirkan air mata usai bait pertama lirik lagu Di Manakan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku dan Istana Cinta dinyanyikan. Jujur, penulis meremang, gemersik suaranya seperti merintih rindu buat yang tiada.

LIZA Hanim 27 Years Journey In Concert, sebuah pentas sulung bukti keampuhan dan kredibiliti Liza sebagai penyanyi dalam kelas tersendiri sekali gus kekal relevan hingga kini. – AMIR KHALID / LH MEDIA

Seiring sayunya alunan lagu, turut terpancar di skrin LED kompilasi foto tribut buat semua insan yang telah ‘pergi’ meninggalkannya termasuk Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Adibah Noor, Siti Sarah, Bad Indigo dan ahli keluarga terdekatnya.

Tidak hanya itu, ibu kepada lima cahaya mata itu gagal menahan sebak ketika menyanyikan lagu Tiada yang ditujukan khas kepada arwah bapanya, Allahyarham Abd. Halim Abdul Razak.

“Lagu ini dekat di hati saya. Gubahan saya sendiri dan lirik ditulis Fedtri Yahaya.

“Tahun 2019 adalah momen paling menyedihkan buat saya kerana pemergian ayah. Dia orang yang bertanggungjawab menjadikan saya Liza Hanim.

Saya sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak menangis ketika menyanyikan lagu ini tapi saya gagal, terlalu sebak. Saya tidak pernah dapat selesaikan lagu ini tanpa menangis, liriknya terlalu dekat,” ujarnya selepas menyanyikan lagu tersebut.

Tetap profesional, Liza meneruskan persembahan dengan lagu Sejuta Maaf dan selepas itu mendendangkan Bahagiakan Dia duet istimewa bersama puteri sulungnya, Marsya Qistina.

Ingin memberikan pengalaman buat anaknya itu, Liza meninggalkan pentas konsert sejenak bagi memberi laluan kepada puterinya mempamerkan bakat dengan menyanyikan lagu Temanku Tersayang secara solo.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok