SEMBILAN tahun tiada penerbitan sebarang single baharu, hakikatnya penyanyi Aril Pilus masih aktif memenuhi persembahan pentas dan pengacaraan majlis.
Bakat kelahiran program realiti Akademi Fantasi (AF) musim ketujuh itu menegaskan tiada sebab untuk memperlahankan kerjaya seni walau ligat mengendalikan perniagaan.
Dalam kesibukan menguruskan bisnes berasaskan makanan dan minuman serta pengurusan acara, dia bersyukur, kembali merealisasikan impian menghasilkan single berjudul Tak Sempurna.
“Saya tahu ada yang sangka saya tinggalkan bidang nyanyian disebabkan sibuk menguruskan dua perniagaan serentak, tetapi hakikatnya tanggapan itu tidak benar.
“Syukur sebab saya banyak diberi tanggungjawab menghiburkan jemputan dalam majlis tertutup, jadi apabila tidak muncul dalam televisyen, orang ingat saya berehat.
“Kebelakangan ini saya juga semakin aktif mengelola dan terlibat dalam acara membabitkan tarian shuffle, selain mempromosikan single Tak Sempurna,” katanya.
Ibarat serampang dua mata, akui Aril, kelahiran lagu konsep EDM itu bukan sekadar memenuhi permintaan pengikutnya, termasuk dari luar negara, bahkan antara usaha mengumpul peminat baharu.
Lagu jadi magnet
Karya ciptaan bersama komposer, Justin Seow dan penulis lirik, Asyraf Nasir tersebut diharap mampu menjadi magnet mengumpul komuniti penggemar genre sama dan tarian shuffle.
“Sebenarnya komuniti peminat EDM serta shuffle di sini ramai. Saya juga punya pasukan sendiri dan sering menyertai aktiviti dengan penggemar lain termasuk memasuki pertandingan.
“Apabila dapat menghasilkan sebuah karya istimewa buat penggemar genre sama, selain berbeza dengan lagu saya sebelum ini, sudah tentu kepuasannya sukar digambarkan.
“Boleh dikatakan single Tak Sempurna ini juga membawa maksud kebangkitan semula saya dalam industri muzik bersama imej lebih segar.
“Setakat ini ramai pengikut di laman sosial termasuk di luar negara meninggalkan respons positif selain meminta saya buat siri jelajah,” kongsinya teruja.
Promosi tarian shuffle
Bercerita mengenai pembabitan dengan tarian tersebut, kata Aril, trend shuffle kembali tular apabila digemari ramai pengikut dalam laman sosial, terutama TikTok.
“Dalam dunia hiburan, tiada tarikh luput untuk sesuatu trend, mahupun genre muzik.
“Cuma kena tunggu pusingan setiap era datang semula, seterusnya kita sama-sama semarakkan trend berkenaan.
“Dahulu, saya seorang shuffler dan mempunyai pengikut ramai di dalam dan luar negara, jadi saya ambil kesempatan menghasilkan karya berentak pop EDM kali ini.
“Jika dapat banyak permintaan selain sokongan agensi dan penaja, saya ingin menghasilkan festival EDM pula, selain mempromosikannya ke seluruh negara,” tambahnya.
Semakin teruja mendedahkan perincian naskhah baharu, setiap bait lirik digubah bagi menyuntik semangat agar tidak mudah menyerah.
“Single Tak Sempurna ini juga bermaksud sentiasa mara ke hadapan dan apabila jatuh, bangkitlah semula iaitu jangan sesekali menyerah kalah kerana kita semua tidak sempurna.
“Biarpun melodinya rancak, seni kata dalam seleksi istimewa ini memberikan motivasi dalam membangkitkan semangat cekal,” katanya.
Aril, 38, akui rancangan menghasilkan Tak Sempurna sudah ada dalam fikiran sejak tahun lalu, namun proses berkenaan hanya dimulakan selepas bertemu komposer yang memahami kehendaknya.
“Secara teorinya memang belum ramai yang dapat memahami konsep muzik EDM, hanya golongan yang benar-benar menjiwai sahaja akan faham.
“Sebagai pelengkap, saya ambil peluang menjemput penyanyi rap tanah air, Nigel Sparks bagi menambahkan warna dalam karya ini, sekali gus menarik pendengar dan peminat genre lain
“Apabila mendengar hasilnya memang memuaskan hati terutama kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan irama ini,” ulasnya yang enggan kembali dengan karya ‘kosong’.
Hargai isteri
Diminta berkongsi mengenai keluarga, Aril yang yang kini dilengkapi kehadiran dua permata hati sentiasa mendapat sokongan isteri tercinta, Puteri Erma Edlinda dalam bisnes mahupun karier seni.
Pengorbanan suri hati yang melahirkan zuriat biarpun berdepan ujian iaitu perlu membuang ketumbuhan (fibroid) pada bahagian servik dan rahim turut membuatkannya lebih menghargai insan tersayang.
“Alhamdulillah kehidupan bersama keluarga sememangnya antara perkara yang menguatkan semangat saya terus kuat bekerja dan mengatur karier seni.
“Dengan lahirnya Tun Adrien Noah pada Oktober 2023 lalu, keluarga kecil kami juga semakin meriah. Tun Adriel Mikael yang seronok sebab ada regu bermain pada usianya yang mencecah sembilan tahun kini.
“Namun, pengalaman ketika melihat isteri melahirkan putera kedua kami sesungguhnya menginsafkan.
“Saya semakin menghargai setiap pengorbanannya,” ujarnya menutup bicara.