KISAH hati pelakon berwajah nakal, Johan As’ari yang dikatakan sudah berpunya dan bakal mendirikan rumah tangga, bukan baru semalam diselongkar.
Sejak dua tahun lalu, cerita cinta pelakon berusia 37 tahun itu sudah pun dihidu media, sehinggalah Johan atau nama lengkapnya Johan Ariff As’ari sendiri mengakuinya.
Pelakon yang memulakan kerjaya seninya pada 2010 menerusi drama Penunggu Gunung Raya itu memberitahu, sudah hampir memasuki tahun kelima mengenali seorang gadis bergelar usahawan mangga harumanis di Perlis.
Bahkan Johan ketika ditemui HibGlam semasa majlis malam gala filem Tujuh Dua Belas pada Mei tahun lalu, turut mendedahkan bakal menikahi kekasihnya itu pada penghujung tahun yang sama.
Masa berlalu, sehinggalah 2023 melabuhkan tirai dan 2024 sudah hampir melepasi suku pertama, jejaka asal Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu masih berstatus bujang.
Bertemu lagi baru-baru ini, Johan kembali disaol tentang perancangan mendirikan rumah tangga yang pernah diperkatakan namun bintang Juvana itu selesa ‘mengunci mulut’.
Bukan kerana hubungannya dengan gadis yang dikenali dengan pangkal huruf ‘N’ itu telah berakhir, tetapi Johan berkata dia hanya mahu memberi kejutan kepada media dan peminat, apabila tiba masanya nanti.
Insya-Allah, nanti sampai tarikh saya akan jemput pihak media untuk datang (majlis pernikahannya). Saya ucapkan terima kasih kepada peminat-peminat yang mendoakan.
“Biarlah jadi kejutan. Barulah best (seronok). Kalau saya jemput nanti, mesti kena datang,” katanya.
Selain ingin memberikan kejutan, Johan juga punya alasan tersendiri mengapa enggan berkongsi tentang hubungannya dengan lebih terperinci.
Katanya, dalam era media sosial seperti hari ini, dia harus berhati-hati bagi mengelak perkara yang tidak diingini terjadi.
Dalam zaman media sosial, bagus kalau kita sentiasa berhati-hati. Tapi, bukanlah sebab penyakit ain atau sebagainya,” katanya.
Tambahnya lagi, kekasihnya itu sememangnya faham dengan kerjayanya sebagai pelakon, selain perhatian yang diterima daripada peminat.
Dia okey dan faham karier saya sebagai pelakon. Dia memang ‘sporting’,” jelasnya.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai berdekatan. – HIBGLAM