Anna Jobling ungguli Anugerah Gempak Most Wanted 2023

MENEPATI jangkaan, pelakon Anna Jobling diumumkan sebagai pemenang Anugerah Gempak Most Wanted 2023 apabila meraih 1.5 juta undian peminat.

Pemilik nama  penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 23, itu mengakui terharu mendapat kepercayaan ramai sehingga layak membawa pulang trofi utama.

Tak sangka menang sebab semua yang dicalonkan sangat kuat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Khai Bahar yang sememangnya mempunyai fan base besar.

“Apabila dimaklumkan undian saya 25 peratus daripada 6 juta undian keseluruhan membuatkan saya terkejut serta bersyukur dengan pengiktirafan ini.

Ini juga rezeki kepada peminat yang tidak jemu bersama saya dari dulu hingga sekarang,” katanya pada sidang media selepas acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), malam tadi.

Pada acara sama, bintang drama Melur Untuk Firdaus itu turut menungguli trofi Selebriti Digital Tergempak selain hadiah khas penaja, Anugerah Drama Rambut Paling Ump.

Lebih manis apabila naskhah kesinambungan Melur Untuk Firdaus yang dibintang bersama Meerqeen iaitu Melur Untuk Firdaus 2 mengulangi kemenangan tahun lalu apabila diangkat sebagai Drama Tergempak.

Edisi kedua pengiktirafan yang mengangkat pencipta kandungan digital termasuk selebriti itu mempertandingkan sembilan kategori dengan kemenangan 100 peratus bersandarkan undian.

Pada acara sama, penyanyi Aina Abdul membawa pulang trofi Lagu Trending Tergempak, manakala Video Muzik Tergempak dimenangi Khai Bahar dan Nabila Razali menerusi Selagi Ku Ada.

Digital Content Creator bagi Hiburan, Motivator dan Lifestyle masing-masing diraih Rahman Chea, Dr. Say serta Amin & Abid Othman.

Dua lagi kategori iaitu Video Tergempak dimenangi Mikhail Imaan yang menyerlah dengan video berjudul Kesian Girlfriend Lapar dan Gamer Tergempak pula diraih Pok Ro Gaming.

Sementara itu, satu lagi trofi ditunggu-tunggu ramai adalah Hall Of Fame yang juga anugerah pilihan penganjur dan musim ini menyaksikan penghibur tersohor Indonesia, Melly Goeslaw sebagai penerima.

Anugerah Gempak Most Wanted kali ini dikendalikan Zizan Razak, Sherry Alhadad, Amelia Henderson dan Sean Lee.

Majlis pengiktirafan itu turut dimeriahkan dengan persembahan Dolla, Haqiem Rusli, Coax, Hael Husaini, Khai Bahar, Kaka Azraf, Ayda Jebat, Akim & The Majistret, Aina dan Ajai serta Melly.

Manakala barisan penyampai trofi pula adalah Maya Karin, Rozita Che Wan, Zul Ariffin, Datuk Jalaludin Hassan, Norlia Ghani dan Roy Azman dan Meerqeen. – HIBGLAM

Kategori

Video Tergempak – Kesian Girlfriend Lapar (Mikhail Imaan)

Digital Content Creator (Lifestyle) – Amin & Abid Othman

Digital Content Creator (Motivator) – Dr. Say

Digital Content Creator (Hiburan) – Rahman Chea

Drama Tergempak – Melur Untuk Firdaus 2

Lagu/Audio Tergempak – Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)

Gamer Tergempak – Pok Ro Gaming

Selebriti Digital – Anna Jobling

Hall of Fame – Melly Goeslaw

Gempak Most Wanted – Anna Jobling

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok