TIDAK memandang kecantikan semata-mata, pelakon Aedy Ashraf mengakui selesa di sisi Amelia Henderson disebabkan personaliti aktres jelita itu yang membuatkan dirinya berasa tenang dan selamat.
Pemilik nama sebenar Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 30, itu berkata, luaran seseorang tidak kekal lama berbanding sifat dalaman yang utuh sepanjang hayat.
Amelia sentiasa membuat saya selamat dan tenang. Dari segi cantik, sudah pasti dia memang seorang yang sangat jelita, tetapi pada akhirnya kecantikan akan luntur seiring peningkatan usia.
“Pada saya, dia cukup sempurna disebabkan sisi peribadinya yang baik, mempunyai personaliti kuat, serta mampu menenangkan hati.
“Apabila bersama Amelia, saya juga berasa sangat selamat. Memang dia istimewa,” katanya selepas sesi tayangan perdana drama bersiri i.D, semalam.
Katanya, sikap saling memberikan kepercayaan membolehkan alur perhubungan berlangsung dengan lancar dan penuh persefahaman.
Tiada pihak yang mengganggu hubungan ini kerana kami berdua meletakkan kepercayaan penuh antara satu sama lain.
“Ini bukan sekadar percaya antara pasangan kekasih, bahkan membabitkan kepercayaan sebagai sahabat memandangkan kami lebih banyak berkongsi mengenai hal kerjaya.
Selain keluarga dan peminat, Amelia antara penyokong terkuat yang sentiasa bagi pandangan tulus serta bernas untuk setiap perkara,” ujarnya.
Aedy dan Amelia akrab selepas bergandingan dalam drama Kisah Cinta Kita sekitar November 2021, namun cinta mereka pernah terkandas sebelum ikatan kasih itu bertaut semula beberapa bulan kemudian. – HIBGLAM