Amelia bijak berhujah, santai kupas isu

MENYELAK rentak kerjaya figura bernama Amelia Henderson, setiap lapangan terutama lakonan dan pentas peragaan yang dijalani sejak kanak-kanak meletakkan selebriti berdarah kacukan itu berada dalam kelas tersendiri.

Tidak hanya bermodalkan kejelitaan, wanita berusia 28 tahun itu dikatakan antara bintang yang terus menyinar bersandarkan bakat, kredibiliti serta disiplin tinggi.

Pesona pemilik nama sebenar Amelia Thripura Henderson itu juga semakin kukuh sejak mengendalikan program podcast atau audio siar yang menyaksikan dirinya sebagai penerbit eksekutif merangkap pengendali wawancara.

Konten ditapis tetamu

Sejak bersiaran bermula Oktober 2022, platform tersebut meraih perhatian khalayak, malah kebijaksanaannya mengawal suasana selain santai mengupas isu, lebih-lebih lagi mengenai topik hangat dipuji ramai.

Begitupun, Amelia tetap memastikan setiap konten yang disajikan menerusi podcast Studio Sembang tidak menyentuh sensitiviti tetamu undangan selain melalui proses tapisan ketat.

AMELIA sedia menyahut cabaran untuk menggalas lebih banyak watak dan pada masa sama terus aktif mengendalikan podcastnya, Studio Sembang.

Enggan memanipulasi jemputan yang juga rakan seperjuangan segelanggang dalam industri, katanya, setiap bahan sesi sembang  yang dirakam menjalani proses suntingan bersama pihak yang terlibat termasuk artis atau personaliti undangan.

“Apabila saya tanya pasal kehidupan, saya bukan mahu mencungkil perkara yang bernilai kontroversi sahaja kerana saya juga ada integriti, tetapi kita tidak boleh kawal jawapan mereka.

“Biar apa pun huraian diberikan, bukan semua kita perlu kongsikan dalam podcast sebab kami akan hantar ‘final cut’ kepada tetamu agar mereka pula dapat memberikan maklum balas atau tapisan seterusnya.

“Saya enggan meletakkan tetamu saya dalam apa jua situasi kalau siarkan semua tanpa persetujuan disebabkan topik dibincangkan mengenai hal peribadi mereka,” jelas Amelia tenang.

Tak kejar sensasi

Lebih setahun bersiaran, Amelia menerima pelbagai respons, baik daripada penonton maya mahu pun selebriti, sekali gus menunjukkan Studio Sembang mempunyai pengikut tersendiri.

Ditanya mengenai pengendali platform audio siar lain yang sengaja memilih topik panas atau mengundang personaliti sensasi demi mengejar rating, dia hanya tersenyum.

Amelia yang juga ahli Mensa Antarabangsa iaitu individu mempunyai kecerdasan otak (IQ) tinggi bertegas, setiap ‘podcaster’ mempunyai pilihan sendiri dan terpulanglah kepada mereka untuk memilih topik atau isu untuk diperdebatkan.

KEDEKATAN dengan Aedy memberi bonus untuk pasangan sama naik sama padan itu saling berbincang dalam meningkatkan kerjaya masing-masing.

Sedar situasi, Amelia faham dia bukan individu yang sepatutnya mengulas kontroversi pihak lain tambahan pula platform kendaliannya juga pernah diperkatakan berikutan topik sensasi.

“Saya tak rasa saya orang sesuai untuk jawab siapa yang layak kendalikan podcast atau tidak. Apa yang saya buat adalah fokus terhadap podcast saya sendiri.

“Tetapi secara peribadi saya percaya sesiapa yang ada platform tersebut sedar, pengikut mereka mahu mereka bertanggungjawab dengan apa yang dimuat naik,” luahnya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok