DEMI melunaskan hutangnya kepada kakak ipar, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali, pelawak Ali Puteh menjual satu persatu aset dan barangan peribadi termasuk kereta, motosikal serta trofi.
Dalam hantaran Instagram seorang individu yang juga rakan Ali, momen melepaskan kereta baru-baru ini diselubungi rasa sebak bahkan isterinya, Melati Fitri Abdullah menitiskan air mata.
Honda Accord, ‘sold’. Terima kasih hamba Allah ini datang dari Johor Bahru. Sangat mudah berurusan,” tulis keterangan video dalam laman sosial berkenaan.
Menerusi paparan tersebut, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, dilihat memeluk serta menenangkan insan tersayang yang tidak mampu menahan sebak.
Sebelum itu, dalam Instagram sama sebuah motosikal RXZ rona merah yang dikatakan milik adik kepada Allahyarham Abam Bocey itu juga sudah mendapat pemilik baharu.
Paling mendapat perhatian pengikut pelawak terbabit adalah ketika dia bersama isteri dan rakannya itu mengumpulkan piala kemenangan beberapa program realiti, dua hari lalu.
Menurut individu yang menggunakan akaun di bawah nama Pojie, kesemua trofi yang berada dalam gambar berkenaan sudah dijual.
‘Sold’. Sayang memang sayang. Terjual semua piala kenangan (program lawak). Insya-Allah ada rezeki lain nanti Ali Puteh dan Melati Fitri,” tulisnya.
Antara yang kelihatan adalah trofi Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan satu lagi pertandingan lawak.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji tindakan Ali berusaha melunaskan hutang dengan pelbagai cara.
Permulaan yang baik, moga selepas ini terus dimurahkan rezeki dan mendapat tawaran berlakon melimpah ruah,” kata seorang netizen.
“Tidak mengapa. Selesaikan yang ini dulu. Insya-Allah ada rezeki lain, lapangkan hati,” tulis pemilik sebuah akaun media sosial lain.
Pada 2022, Ali Puteh diperintah Hakim Mahkamah Sesyen supaya membayar Siti Nor Hidayah Mohd. Ali sebanyak RM60,000 berhubung kenyataan mengaibkan wanita terbabit dalam Instagram. – HIBGLAM