Adik Hidayah dakwa Ali Puteh belum bayar hutang

CUBA mengakhiri sengketa dengan muncul di kediaman kakak iparnya bagi melunaskan hutang, pelawak Ali Puteh mendedahkan ahli keluarga Siti Norhidayah Mohd. Ali pula bersuara seolah-olah tidak berpuas hati dengannya.

Kata Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan, 35, adik lelaki Hidayah juga masih menuduhnya belum melangsaikan wang berjumlah RM75,486.48 seperti diperintahkan mahkamah.

Pula dah. Adik Dayah (Hidayah) naik hantaran Instagram macam tidak berpuas hati. Sebut saman belum bayar lagi.

“Semalam saya datang nak bayar tetapi tak nak pula,” katanya sambil berkongsi tangkap layar tuduhan adik kepada kakak iparnya itu.

Dalam tangkap layar tersebut, adik Hidayah yang dikenali sebagai Zainuddin menyifatkan kedatangan Ali ke rumah mereka seperti tiada adab kerana tidak memberitahu terlebih kehadirannya terlebih dahulu.

Datang roger-roger (beritahu) dulu. Jangan main terjah dan tunjuk awak bagus.

Tangkap layar kenyataan adik Hidayah bernama Zainuddin yang tidak berpuas hati dengan kedatangan Ali Puteh ke kediaman mereka semalam.

“Kalau roger bolehlah layan macam VVIP (orang ternama) sediakan kopi O panas atau lepak-lepak pantai kan seronok.

Ini datang bawa pengawal peribadi selepas itu acah kami tidak layan. Macam mana nak layan bro datang main langgar dan kami pun buat benda sama,” ujarnya Zainuddin.

Sementara itu, dia turut menuduh adik Allahyarham pelawak popular Abam Bocey itu tidak membayar hutang selain berharap ‘hutang’ dapat selesaikan dengan kaedah betul.

Apa-apa pun duit belum bayar lagi. Selepas ini, awak jumpa peguam okey. Kita ada undang-undang bukan boleh ambil duit sesuka hati.

“Kami bukan kejam sangat, kalau roger memang kami bagi layanan VVIP, karpet merah, makan di kedai Hidayah Hamzah dan makan cempedak goreng lagi,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, hasil tinjauan HibGlam mendapati Zainuddin telah memadam hantaran tersebut dalam Instagramnya.

Semalam, difahamkan Ali berkunjung ke rumah kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali bagi melunaskan wang berjumlah RM75,486.48 seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.

Namun, bayaran tersebut dibuat secara tunai kepada Siti Nor Hidayah, malah Ali turut membacakan suratnya yang juga ditandatangani bersama kakak iparnya.

Bagaimanapun, difahamkan urusan pembayaran hutang saman terbabit masih belum selesai selepas pihak Hidayah mahu Ali melakukan transaski tersebut melalui peguamnya.

Sebelum ini, Ali terpaksa menjual tujuh buah trofi yang pernah dimenanginya untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang tersebut.

Antara ‘harta’ yang dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar dan Projek Komedi Warna.

Selain itu, Ali turut menjual sebuah motosikal jenis RXZ berwarna merah miliknya, selain sebuah kereta Honda Accord berwarna putih.

Pada Mei 2020, Hidayah, telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu dalam akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Wanita terbabit memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Sehubungan itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Februari 2022 telah memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya untuk membayar RM60,000 kepada Hidayah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok