SELEPAS mendirikan rumah tangga dengan bintang Indonesia, Prisia Nasution pada 2016, pelakon Iedil Dzuhrie memilih untuk berhijrah dan menetap di sana.
Selain kerana telah bernikah dengan wanita seberang, pelakon yang dahulunya dikenali dengan nama Iedil Putra itu juga mempunyai alasan lain untuk tinggal di Jakarta, Indonesia.
Bukan sebab merajuk dengan industri di tanah air, sebaliknya Iedil, 40, bercita-cita untuk melebarkan sayap seninya ke negara kepulauan itu.
Pemilik nama lengkap Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin itu berpendapat industri seni seberang, sudah jauh berkembang berbanding di negara sendiri, selain mempunyai lebih banyak peluang.
“Saya memilih untuk tinggal di Jakarta kerana telah berkahwin dengan orang sana (Prisia Nasution).
Tapi alasan utama saya untuk berhijrah sebab mahu melebarkan sayap ke Indonesia.
“Apa yang saya nampak, industri hiburan (lakonan) di sana sudah jauh berkembang dan lebih banyak peluang,” katanya.
Iedil yang juga anak kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Allahyarham Datuk Tengku Alaudin Tengku Abdul Majid itu tidak menafikan, peluang anak seni tempatan untuk menembusi pasaran Indonesia, lebih sukar berbanding sebaliknya.
Namun, jika seseorang anak seni dari Malaysia itu pandai beradaptasi dengan budaya masyarakat di sana, mereka boleh diterima baik oleh pemain industri Indonesia.
“Ramai yang beranggapan, industri kita sukar untuk menembusi pasaran di Indonesia, berbanding mereka masuk ke sini (Malaysia). Saya tidak nafikan perkara itu.
Saya beruntung sebab isteri saya orang industri di sana. Kekangan utama saya sewaktu awal-awal memasuki pasaran Indonesia adalah bahasa.
“Tapi selepas lapan tahun berada di Indonesia, saya sudah terbiasa. Kehadiran saya pada awalnya sukar diterima sebab saya dianggap orang luar.
Tapi bila sudah beradaptasi dengan budaya tempatan seperti bahasa, perkara itu tidak lagi menjadi masalah,” katanya.
Selain berlakon, Iedil kini melangkah setapak lagi ke hadapan apabila kini turut menceburi bidang perniagaan dengan membuka sebuah kafe yang dinamakan sebagai Casatopia Café di Jakarta sejak empat bulan lalu.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM